PORT DICKSON - Seorang lelaki warga emas berdepan detik mencemaskan apabila dibaham buaya ketika menjala udang di Sungai Linggi, Kampung Tanjung Agas di sini pagi Isnin.
Dalam keadaan kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa, Jaafa Hasan, 62, dilaporkan mengalami kecederaan di kedua-dua kaki dan paha.
Difahamkan, mangsa yang merupakan Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanjung Agas telah pun dihantar ke Hospital Port Dickson untuk mendapatkan rawatan lanjut dan kini dilaporkan stabil.
**media[3532023]**
Sementara itu, Pengerusi JPKK Kampung Tanjung Agas, Hairi Dahlan berkata, pihaknya telah mengambil tindakan awal dengan memaklumkan kejadian kepada Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, Sungai Linggi sememangnya diketahui mempunyai buaya dan pernah beberapa kali berlakunya kejadian seumpama itu, namun tidak pernah membabitkan kehilangan nyawa.
“Walaupun kejadian seperti ini pernah berlaku sebelum ini, namun tiada kes yang meragut nyawa dilaporkan.
"Saya nasihatkan penduduk supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti di tebing sungai buat masa ini bagi mengelakkan kejadian berulang,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli memaklumkan mangsa berada dalam keadaan stabil dan ini merupakan kejadian pertama yang berlaku tahun ini.
**media[3532024]**
Tambah Mohd Faizal, beliau akan pergi ke Hospital Port Dickson untuk melawat mangsa tengah hari ini.
"Sungai Linggi ini memang terkenal dengan buaya, tapi yang kita semua difahamkan ia tidaklah sehingga mengancam manusia.
"Saya juga diberitahu mangsa selalu pergi menjala udang di situ dan kali ini mungkin nasibnya tak berapa baik apabila diserang buaya," katanya.




