
KENINGAU: Polis menahan seorang lelaki tempatan kerana memasuki gereja Katedral St Francis Xavier di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah, DSP Nor Rafidah Kasim berkata lelaki berusia 34 tahun yang dipercayai kurang siuman itu didapati negatif dadah melalui ujian air kencing.
Beliau berkata polis menerima laporan kira-kira jam 10.01 pagi selepas gereja itu dimasuki individu tidak dikenali sekitar jam 7.30 pagi.
“Siasatan awal polis mendapati gereja itu berada dalam kawasan berpagar tetapi pintu dan pagar gereja tidak berkunci.
“Pemeriksaan sistem CCTV gereja juga didapati tidak berfungsi (rosak) dan berikutan kejadian itu, dua patung di sebelah kiri dan kanan serta salib besar dijatuhkan,” katanya.
Nor Rafidah berkata, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai gambar dan video yang tular di media sosial yang akan mengganggu siasatan polis.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
