SHAH ALAM - Lelaki yang mencetuskan kontroversi isu agama di Surau Taman Seraya, Ampang ditahan polis pada Ahad.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, lelaki tempatan berusia 46 tahun itu ditahan di Pandan Indah kira-kira jam 3 petang bagi membantu siasatan berkaitan kes ingkar perintah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkaitan Solat Jumaat di surau terbabit.
Menurutnya, polis telah merampas satu komputer riba, telefon bimbit serta beberapa dokumen berkaitan bagi siasatan lanjut.
"Semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ujian air kencing negatif dadah.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Tambahnya, siasatan dijalankan secara profesional dan telus mengikut lunas undang-undang yang berkuat kuasa tanpa kompromi.
Tegasnya, masyarakat dinasihatkan agar tidak membuat sebarang andaian atau spekulasi dan menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu proses siasatan serta menggugat ketenteraman awam.
"Pihak polis tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang tindakan yang cuba mencetuskan provokasi melampau sehingga menjejaskan keharmonian masyarakat di negeri ini," ujarnya.
Sebelum itu, pada program Larian Diraja Selangor Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Masyarakat di Elmina Lake Side Mall di sini pada Ahad, Shazeli memaklumkan suspek telah dikenakan Senarai Pekeliling Khas bagi memastikan individu itu tidak keluar dari negara.
"Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya telah menerima laporan yang dibuat oleh beberapa individu terutamanya daripada Ahli Jawatankuasa (AJK) Surau Taman Seraya berkaitan dengan satu petisyen yang berlegar di kawasan tersebut.
"Rakaman percakapan juga telah diambil melibatkan AJK-AJK surau dan juga penduduk-penduduk komuniti di kawasan tersebut selain satu laporan daripada pejabat ahli majlis," ujarnya.
Jelas Shazeli, Senarai Pekeliling Khas bermaksud apabila ia didaftarkan, individu itu akan menghadapi kesukaran untuk ke luar negara kerana nama didaftarkan di lapangan-lapangan terbang dan sekiranya dikesan, penama itu akan ditangkap.
Jumaat lalu, Sinar Harian melaporkan AJK Surau Taman Seraya membuat 10 laporan polis berkaitan dakwaan gangguan melibatkan seorang penduduk di kawasan tersebut.
Pengerusi Surau Taman Seraya, Abdullah Sulaiman dilaporkan berkata, laporan itu dibuat bukan bertujuan mencetuskan sebarang konflik, sebaliknya bagi menangkis dakwaan fitnah surau berkenaan.
Antara perkara yang dibangkitkan ialah dakwaan bahawa laungan azan yang berkumandang ketika ini mengganggu individu terbabit selain, dia meminta agar solat Jumaat yang telah dilaksanakan sejak 15 November 2019 dihentikan kerana mengganggu laluan trafik.





