Polis daftar suspek isu Azan di Ampang dalam pekeliling khas, dihalang ke luar negara

LocalPolitics
26 Apr 2026 • 4:41 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Polis daftar suspek isu Azan di Ampang dalam pekeliling khas, dihalang ke luar negara

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mendaftarkan nama seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam isu petisyen azan di Ampang, ke dalam senarai pekeliling khas bagi menghalang individu berkenaan meloloskan diri ke luar negara.

Menurut Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar, langkah strategik itu, diambil susulan laporan polis yang diterima daripada penduduk dan Ahli Jawatankuasa (AJK) surau di kawasan terlibat, berhubung satu petisyen yang dibangkitkan di taman perumahan berkenaan.

Setakat ini, ujar beliau, suspek masih belum ditangkap tetapi telah dibuat senarai pekeliling khas untuk memastikan ia tidak terlepas keluar daripada Malaysia.

“Usaha telah dijalankan untuk mengesan dan buat tangkapan terhadap suspek.

“Apabila didaftarkan di bawah senarai pekeliling khas ini, mereka akan menghadapi kesukaran untuk keluar negara. Sebab nama suspek didaftarkan di lapangan-lapangan terbang. Sekiranya ada, tangkapan akan dibuat,” katanya, lapor Bernama.

Pada Jumaat lalu, jawatankuasa sebuah surau di Ampang membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah pada Jumaat lepas, susulan dakwaan terdapat pihak membuat bantahan terhadap pengurusan rumah ibadat berkenaan membabitkan azan, solat berjemaah serta penggunaan ruang luar surau.

Antara perkara yang menimbulkan ketegangan termasuk dakwaan laungan azan mengganggu mereka selain meminta supaya solat berjemaah dihentikan.

Beliau memberitahu, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia selepas siasatan awal mendapati terdapat elemen kesalahan dilakukan oleh penghuni di taman tersebut.

Shazeli berkata setakat ini pihaknya telah merakam percakapan beberapa individu termasuk wakil komuniti setempat yang terkesan dengan isu berkenaan bagi membantu melengkapkan fail kes.

Jelasnya, seorang individu daripada pejabat ahli majlis juga telah tampil memberikan keterangan, bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh dari pelbagai sudut.

“Suspek ini memang kita belum berjumpa dan akan dipanggil untuk membantu siasatan secepat mungkin. Sekiranya masyarakat mengetahui keberadaan beliau, sila berhubung dengan pihak IPD Ampang supaya kita dapat selesaikan siasatan.

“Setakat ini, siasatan masih belum lengkap. Kita sedang meneliti motif sebenar kes ini. Jadi, kami beri peluang untuk menjalankan siasatan dengan telus dan adil kepada semua pihak,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Shazeli menasihatkan orang ramai agar mengelakkan diri daripada melalukan kesalahan-kesalahan yang menjurus kepada Akta Hasutan, termasuk mengawal emosi ketika membuat sebarang tindakan dan penyampaian secara bertulis. - 26 April, 2026

The post Polis daftar suspek isu Azan di Ampang dalam pekeliling khas, dihalang ke luar negara appeared first on Scoop.