Lelaki dengan 18 rekod kesalahan dadah ditahan lagi

17 Feb 2023 • 7:10 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

SIBU: Bagai tidak serik dengan kesilapan lepas, seorang lelaki yang memiliki 18 rekod kesalahan lampau berkaitan dadah, ditahan polis semalam susulan penemuan 129.59 gram bahan terlarang itu bernilai lebih RM12,000, di sebuah rumah di Jalan Ek Dee di sini.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata lelaki berusia 32 tahun itu ditahan dalam serbuan yang dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu kira-kira 7.10 malam.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek, pihak polis telah merampas tujuh peket plastik lut sinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine,“ katanya dalam kenyataan.

Katanya hasil ujian mendapati lelaki itu positif methamphetamine dan amphetamine.

“Suspek telah direman selama enam hari bermula hari ini (Jumaat) bagi membantu siasatan,“ kata Zulkipli. -Bernama