Lelaki dibelasah 'mat motor’ selepas dituduh punca adik suspek ditangkap polis

15 Mar 2026 • 2:57 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Seorang lelaki dibelasah sekumpulan ‘mat motor’ selepas dituduh menjadi punca adik salah seorang suspek ditahan polis berkaitan kes mencuri motosikal dalam kejadian di tepi jalan Tangga Batu, bersebelahan Masjid Ar-Rabbani.

MELAKA - Seorang lelaki dibelasah sekumpulan ‘mat motor’ selepas dituduh menjadi punca adik salah seorang suspek ditahan polis berkaitan kes mencuri motosikal dalam kejadian di tepi jalan Tangga Batu, bersebelahan Masjid Ar-Rabbani di sini awal pagi Ahad.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 4 pagi ketika mangsa berusia 24 tahun itu telah dikepung kumpulan itu ketika berada di lokasi tersebut.

Menurutnya, mangsa kemudian ditegur seorang lelaki yang tidak berpuas hati dan menuduh mangsa menjadi punca adiknya ditangkap polis.

“Suspek bersama beberapa rakannya kemudian mengepung mangsa sebelum memukul bahu kanan mangsa menggunakan topi keledar.

“Rakan-rakan suspek turut mengejar mangsa dan menghayun topi keledar ke arahnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Beliau berkata, suspek kemudiannya memukul kepala mangsa menggunakan sebatang kayu sehingga menyebabkan kecederaan sebelum kejadian itu dileraikan oleh orang awam yang berada di lokasi.

Tambahnya, rakaman kejadian tersebut dipercayai tular di media sosial Facebook dan individu yang merakam kejadian itu masih belum dikenal pasti.

Katanya, tiada tangkapan dibuat setakat ini namun suspek terlibat dalam insiden itu telah dikenal pasti dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.

Sementara mangsa yang cedera telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan.

Terdahulu tular di media sosial beberapa rakaman berhubung kejadian memaparkan mangsa diserang dan dihentak menggunakan topi keledar sebelum rebah.

Dianggarkan 20 mat motor berada di lokasi kejadian dan kelihatan beberapa individu cuba meleraikan pergaduhan berkenaan.