Pecut 10 km dikejar polis, lelaki miliki banyak rekod jenayah ditahan

13 Mar 2026 • 2:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kereta dipandu suspek ditahan polis selepas melarikan diri sejauh kira-kira 10 kilometer di Klang pada Khamis dan Jit Huey (kanan)

KLANG - Cubaan suspek memecut laju kereta dipandunya sejauh kira-kira 10 kilometer bagi mengelak diperiksa polis mengundang padah selepas berjaya ditahan di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam, kereta polis telah terserempak dengan kenderaan suspek yang mencurigakan di Jalan Banting-Pandamaran sebelum diarah untuk berhenti.

Menurutnya, bagaimanapun suspek bertindak melarikan diri sebelum dikejar anggota kereta peronda sehingga persimpangan lampu isyarat bersebelahan sebuah stesen minyak sejauh kira-kira 10 kilometer.

"Suspek telah melanggar kereta peronda di bahagian tepi sebelum berjaya ditangkap.

"Dalam usaha melarikan diri, kenderaan suspek turut melanggar dua kereta jenis Toyota Vios hingga mengalami kerosakan bumper," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, pemeriksaan dalam kenderaan suspek menjumpai dua paket disyaki dadah jenis methamphetamine.

Tambahnya, semakan juga mendapati suspek lelaki warga tempatan berusia 31 tahun memiliki lima rekod jenayah lampau, empat rekod kes dadah serta dua rekod dikehendaki.

"Suspek telah direman empat hari sehingga 16 Mac untuk siasatan di bawah Seksyen 186/279 Kanun Keseksaan, Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 13(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jelasnya, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan spekulasi tidak berasas yang boleh menimbulkan kegusaran serta ketenteraman awam.