Lelaki didakwa cabul anak tiri dibicara Ogos

9 Mar 2023 • 4:21 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Seorang lelaki berumur 38 tahun yang didakwa atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan tirinya, akan dibicarakan pada 29 – 30 Ogos tahun ini.

Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus menetapkan tarikh itu bagi tertuduh apabila kesnya dikemukakan untuk sebutan bagi menyerahkan semua dokumen berkaitan kes itu.

Mahkamah juga menetapkan 15 Mei tahun ini bagi sebutan semula kes untuk memantau sama ada lelaki itu berjaya mendapatkan peguam untuk mewakilinya semasa perbicaraan.

Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan kesalahan itu dengan meraba payudara remaja berusia 14 tahun itu pada jam 5 petang 18 Dis 2021, di ruang dapur sebuah rumah di sebuah kampung di Kota Belud.

Kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebatan jika sabit kesalahan.

Disebabkan hubungan antara lelaki itu dan mangsa, tertuduh juga berdepan hukuman tambahan mengikut Seksyen 16(1) Akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, dan sekurang-kurangnya dua sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM15,000 berdeposit RM5,000 dengan dua penjamin tempatan dan jumlah wang jaminan disatukan.

Lelaki itu dilarang untuk memasuki kampung di mana kejadian didakwa berlaku dan jika gagal berbuat demikian, dia akan perlu membayar jumlah penuh wang jaminan.

Timbalan Pendakwa Raya Mas Izzaty Lokman hadir untuk pendakwaan manakala lelaki itu tidak diwakili.

Sementara itu, seorang lelaki berusia 44 tahun dipenjara 12 bulan kerana menceroboh sebuah rumah.

Majistret Stephanie Sherron Abbie menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Jamil yang mengaku bersalah kepada pertuduhan terhadapnya.

Muhamad telah menceroboh rumah milik seorang Ningsin Mohd Yunus dengan bersembunyi di dalamnya pada 5 pagi pada 2 Feb tahun ini di Seraya Apartment di Putera Jaya, Telipok.

Mahkamah memerintahkan Muhamad menjalani hukuman penjara itu dari tarikh dia ditangkap dan selepas selesai hukuman penjara, dia diperintahkan dirujuk ke Jabatan Imigresen.

Pendakwaan dikendalikan Inspektor Suzie Kupit.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.