
Kota Kinabalu: Seorang lelaki didakwa melakukan gangguan seksual fizikal terhadap seorang perempuan bawah umur.
Ismail Kassim mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus, atas pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.
Bagaimanapun, hukuman terhadap Ismail ditangguhkan kepada 27 Mac tahun ini.
Sementara menunggu tarikh itu, Ismail diperintah direman selanjutnya.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu dengan memeluk kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun itu dan mencium bibirnya pukul 9.30 malam, 14 Feb tahun ini di sebuah kampung di Likas, di sini.
Perbuatan di bawah Seksyen 14(1)(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mazlan melakukan pendakwaan manakala Ismail tidak diwakili.
Sementara itu, lima pendatang tanpa izin, masing-masing, dipenjara empat bulan kerana memasuki negeri ini secara haram. Mereka adalah Danny Sanchez Bustamante, Sani Sabdani, Jas Bakiar, Ali Rajik, dan Jebee Jalil.
Kesemua mereka mengaku bersalah secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azreena Aziz.
Mereka ditahan di tempat berbeza di sekitar bandaraya antara 27 Jan dan 24 Feb tahun ini selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri kepada polis.
Pendatang tanpa izin itu diperintahkan menjalani hukuman penjara dari tarikh mereka ditangkap. Selepas menamatkan hukuman penjara, kelima-lima mereka diperintah dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk data biometrik mereka direkodkan sebelum dihantar pulang.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


