Lelaki didakwa perdagang tiga kanak-kanak, wanita untuk eksploitasi seksual

29 May 2026 • 5:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lelaki didakwa perdagang tiga kanak-kanak, wanita untuk eksploitasi seksual
Tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan memperdagang tiga kanak-kanak perempuan berumur 15, 16 dan 17 tahun serta seorang wanita warga asing berumur 30 tahun bagi tujuan eksploitasi seksual. Foto Bernama.

SANDAKAN - Seorang lelaki hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas empat pertuduhan memperdagang tiga kanak-kanak perempuan dan seorang wanita bagi tujuan eksploitasi seksual pada pertengahan bulan ini.

Chu Nyuk Sheng, 32, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Faezah Jafry namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Sesyen.

Lelaki itu berdepan tiga pertuduhan memperdagang kanak-kanak perempuan berumur 15, 16 dan 17 tahun bagi maksud eksploitasi seksual di sebuah hotel di Jalan 3, Sandakan pada 10.45 malam 14 Mei lepas, dengan dua daripada mereka tidak memiliki dokumen diri.

Bagi pertuduhan keempat, dia didakwa melakukan perbuatan sama terhadap seorang wanita warga asing berbangsa Buton dan berumur 30 tahun di sebuah hotel di Bandar Leila di sini pada 10.15 malam hari yang sama.

Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman minimum penjara lima tahun dan maksimum seumur hidup serta boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 15 Jun depan untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Ong Teik Yi manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama