
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki hari ini didakwa di Mahkamah Majistret Sandakan, Sabah atas empat pertuduhan memperdagangkan tiga remaja perempuan dan seorang wanita untuk tujuan eksploitasi seksual pertengahan bulan ini.
Chu Nyuk Sheng, 32, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Faezah Jafry, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Sesyen.
Lelaki itu berdepan tiga pertuduhan memperdagangkan remaja perempuan berusia 15, 16 dan 17 tahun untuk eksploitasi seksual di sebuah hotel di Jalan 3, Sandakan, pada jam 10.45 malam, 14 Mei lalu, dengan dua daripada mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
Bagi pertuduhan keempat, dia didakwa melakukan perbuatan sama terhadap seorang wanita warga asing berketurunan Buton berusia 30 tahun di sebuah hotel di Bandar Leila pada jam 10.15 malam pada hari yang sama.
Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran 2007, yang memperuntukkan hukuman minimum lima tahun penjara dan maksimum penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 15 Jun untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Ong Teik Yi manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Getaran, 29 Mei 2026






