
Seorang imam telah cedera ditikam ketika menunaikan solat Subuh secara berjemaah dalam sebuah masjid di New Jersey, Amerika Syarikat semalam (9 April).
Tular sebuah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di media sosial yang memaparkan seorang lelaki yang berada di saf ketiga secara tiba-tiba meluru ke hadapan dan menikam imam terbabit dengan pisau sebanyak dua kali.
Suspek tersebut cuba melarikan diri dari orang ramai ke pintu belakang tetapi berjaya disekat oleh jemaah yang menahannya.
Kejadian itu berlaku pada imam Sayed Elnakib sekitar 5.30 pagi di Masjid Omar semasa jemaah sedang sujud ketika solat, lapor CNN.
Suspek pernah bersolat di situ sebelum ini
Menurut laporan, suspek dikenal pasti sebagai Serif Zorba, 32, bukan ahli kariah masjid tetapi pernah bersolat di situ sebelum ini.
Ramai anggota polis yang memenuhi luar kawasan masjid ketika jemaah mula kembali menunaikan solat selepas insiden terbabit.
Dalam pada itu, jurucakap masjid menjelaskan kejadian terbabit hanya satu kes terpencil dan masjid akan terus dibuka selain menjamin keselamatan para jemaah yang hadir.
Suspek difahamkan merupakan penduduk tempatan dan menghadapi beberapa pertuduhan termasuk cubaan membunuh dan memilik senjata yang menyalahi undang-undang.
Menurut pihak peguam negara, kes tikam itu masih dalam siasatan dan polis belum mendedahkan motif serangan terbabit.
Sementara itu, imam tersebut telah mendapatkan rawatan lanjut di sebuah hospital dan kini berada dalam keadaan stabil.
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.


