
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 36 tahun didenda RM4,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda selepas mengaku bersalah memiliki 2,960 mililiter cecair mengandungi mitraginin (Mitragynine) atau lebih dikenali sebagai ketum.
Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Zairul Ahmad selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya.
Mengikut pertuduhan Muhamad didapati memiliki cecair mengandungi mitraginin yang disenaraikan di bawah Jadual Pertama dan Jadual Ketiga (Bahan Psikotropik) Akta Racun 1952 di kawasan parkir sebuah taman perumahan di Tuaran pada 18 Mei lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 30(3) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30(5) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Semasa rayuan hukuman peguam Michelle Usman yang mewakili Muhamad memohon hukuman ringan.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shafeerah Mad Iskim memohon mahkamah mengenakan hukuman yang memberi kesan pencegahan.
Dalam kes berasingan dua majikan masing-masing didenda RM5,000 atau penjara enam bulan kerana membenarkan pendatang asing tanpa izin (PTI) tinggal di premis mereka.
Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain menjatuhkan hukuman itu terhadap Satham Hussain dan Abit Amir selepas kedua-duanya mengaku bersalah secara berasingan.
Satham didapati membenarkan seorang wanita warga Filipina yang tidak memiliki dokumen sah berada di Restoran Noor Deen Maju, Lintas Square pada jam 8.35 malam, 20 Mei 2025.
Sementara itu Abit membenarkan seorang lelaki warga Pakistan tanpa dokumen sah tinggal di Abit Enterprise, sebuah kedai runcit di Kampung Dabak, Jalan Kambau, Penampang pada jam 8.45 malam, 29 Disember 2025.
Kedua-dua tertuduh membayar denda yang dikenakan.
Pendakwaan bagi kedua-dua kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Mohd Sharifuddin Salim.






