Petani curi 71 kotak jubin didenda RM5,000

7 Jul 2026 • 4:12 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Petani curi 71 kotak jubin didenda RM5,000

Kota Kinabalu: Seorang petani didenda RM5,000 atau dipenjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret pada Isnin selepas mengaku bersalah mencuri 71 kotak jubin dari sebuah tapak pembinaan.

Richardo Racha membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali atas pertuduhan mencuri 71 kotak jubin jenama Royal milik K.T.I. Sdn Bhd di tapak pembinaan Kem Lok Kawi, Putatan pada jam 8.20 pagi, 28 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes pada hari kejadian pengadu memasuki Kem Lok Kawi melalui pintu belakang dan melihat dua kenderaan Toyota Hilux meninggalkan kawasan berkenaan manakala sebuah lagi kenderaan berhenti selepas pemandunya menyedari kehadiran pengadu.

Pemeriksaan mendapati kenderaan itu membawa sejumlah besar jubin yang kemudian disahkan milik K.T.I. Sdn Bhd.

Pengadu kemudiannya menemui dua lagi kenderaan yang diparkir di tepi jalan berhampiran sebuah tokong di Lok Kawi dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati kedua-duanya turut membawa jubin milik syarikat sama.

Dalam prosiding berasingan seorang lelaki warga China mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan pas masuk elektronik (e-boarding pass) AirAsia yang dipalsukan.

Chang Ye, 54, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Marilyn Kelvin.

Chang didakwa menggunakan secara curang pas masuk elektronik AirAsia bagi penerbangan Sandakan-Kota Kinabalu bertarikh 26 Jun yang diketahuinya adalah palsu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Balai Ketibaan 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (Terminal Domestik Sabah) pada jam 11.55 pagi, 26 Jun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Pihak pendakwaan memohon tarikh pengurusan kes praperbicaraan dan membantah jaminan manakala peguam tertuduh memohon agar anak guamnya dibenarkan diikat jamin.

Mahkamah menetapkan 13 Ogos depan untuk pengurusan kes praperbicaraan dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,800 dengan dua orang penjamin.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada pegawai penyiasat serta melapor diri kepada pegawai penyiasat sekali setiap bulan sehingga kes selesai.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Akaash Singh bersama Inspektor Yusdi Basri.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved