Lelaki Didenda RM8,000 Gara-Gara Pukul Anak Dengan Hanger Kerana Tak Basuh Pinggan & Kemas Dapur

LocalFamily & Parenting
9 Oct 2025 • 5:36 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Setiap ibu bapa mempunyai cara tersendiri dalam mendidik anak mereka untuk menjadi insan berguna di masa hadapan.

Ada yang menggunakan kelembutan namun ada juga yang menggunakan ketegasan dalam membentuk keperibadian si kecil.

Pun begitu, tindakan seorang bapa menggunakan kekerasan dalam mendidik menyebabkan dia dikenakan tindakan oleh mahkamah.

Tukang Paip Didenda RM8,000 Kerana Pukul Anak Dengan Penyangkut Baju

Menurut laporan, dia memukul anaknya yang berusia 11 tahun dengan penyangkut baju hanya kerana mangsa tidak mencuci pinggan dan mengemas dapur.

Ini menyebabkan tukang paip didenda RM8,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Tindakannya itu menyebabkan mangsa melarikan diri dari rumah mereka di Taman Metropolitan Kepong bagi tujuan menyelamatkan diri.

Malah, Hakim Izralizam Sanusi turut memerintahkan tertuduh yang berusia 42 tahun dipenjara lapan bulan jika gagal membayar denda.

Bukan itu sahaja, tertuduh turut dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin serta diarahkan menjalani khidmat masyarakat selama 36 jam dalam tempoh enam bulan.

Bukan Kali Pertama Bertindak Kasar Terhadap Anak

Tertuduh yang berkerusi roda dan tidak diwakili peguam merayu agar hukuman diringankan.

Dia memberitahu mahkamah bahawa dia kesal dengan perbuatan yang dilakukan terhadap anak tunggalnya itu.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Ikhwan Mohd Nasir memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana ia bukan kali pertama tertuduh berkasar dengan anaknya.

“Tindakannya menyebabkan trauma kepada mangsa sehingga dia sanggup melarikan diri dari rumah. Mangsa kemudiannya diselamatkan oleh orang awam.

“Tertuduh sebagai seorang bapa sepatutnya melindungi anaknya, bukan mencederakan,” katanya yang dipetik daripada Berita Harian.

Dia didakwa melakukan perkara tersebut terhadap anak perempuannya hingga menyebabkan kecederaan fizikal pada 3 Oktober lalu kira-kira jam 2 petang di kediaman mereka.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. Jika sabit kesalahan, individu berhadapan dengan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Mangsa Ditemui Berkeliaran Sebelum Dibawa Ke Balai Polis Kepong

Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus memaklumkan tertuduh yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau ditahan selepas hadir ke Balai Polis Kepong pada 6 Oktober lalu untuk membuat laporan kehilangan anaknya itu.

Walau bagaimanapun, hasil siasatan mendapati mangsa suspek kes penderaan berkenaan dan terus ditahan.

Mangsa ditemui oleh orang awam berkeliaran berhampiran sebuah kedai di Metro Prima pada 5 Oktober lalu sebelum kanak-kanak itu dibawa ke Balai Polis Kepong.

Hasil siasatan mendapati mangsa memaklumkan bahawa dia dipukul oleh bapanya kerana tidak membuat kerja rumah dan melarikan diri kerana takut selepas mengalami penderaan.

Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan kesihatan.

Hasil pemeriksaan juga mendapati mangsa mengalami lebam bawah bibir, kesan calar pada belakang badan serta mengadu sakit kepala.

Source: