Lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh sungai

18 Jun 2025 • 5:37 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mangsa dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Aring 2 di Gua Musang. Foto Bomba

GUA MUSANG - Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjun ke dalam Sungai Aring 2, di sini malam Selasa.

Mangsa, Mohd Kaswadi Ahmad, 42, dilaporkan tidak timbul ke permukaan selepas terjun ke sungai berkenaan pada jam 9.21 malam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Nor Azizi Che Noh berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 8.34 pagi tadi.

“Sebaik menerima maklumat, sepasukan anggota dari BBP Gua Musang telah digerakkan ke lokasi kejadian. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan pada kira-kira 11 pagi dan masih diteruskan hingga kini.

“Berdasarkan maklumat awal yang diperoleh daripada pihak polis, mangsa dipercayai melarikan diri sebelum terjun ke dalam Sungai Aring 2 dan gagal dikesan selepas itu,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Operasi SAR melibatkan empat anggota bomba dan enam anggota polis. - Bernama