Lelaki dilapor hilang di Gua Tepadung ditemui selamat

4 Jun 2026 • 4:37 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Lelaki dilapor hilang di Gua Tepadung ditemui selamat

LAHAD DATU: Seorang lelaki berusia 61 tahun yang dilaporkan hilang ketika mencari sarang burung di Gua Tepadung minggu lalu ditemukan selamat oleh pekerja ladang berhampiran sebuah ladang kelapa sawit di sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu Sumsoa Rashid berkata pengurus ladang menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi memaklumkan lokasi mangsa.

“Pasukan bomba datang ke lokasi di mana mangsa, Ismail Ibrahim, ditemukan untuk mengesahkan perkara itu dan dia didapati berada dalam keadaan selamat tetapi lemah,” katanya pada Rabu.

Sebelum ini dilaporkan Ismail hilang ketika mencari sarang burung bersama dua rakannya di Gua Tepadung pada 26 Mei lalu. Usaha mencari mangsa telah dilakukan secara persendirian namun tidak berhasil.

Selepas polis menerima laporan mengenai kehilangan mangsa pada Ahad lalu, JBPM bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Pada Rabu, operasi SAR ditingkatkan dengan penugasan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (Storm) bagi menjalankan pemeriksaan menyeluruh di bahagian dalam gua terbabit.