
KUALA LUMPUR -Seorang kelindan lori dijatuhi hukuman penjara 38 bulan oleh Mahkamah Majistret Kulim hari ini selepas mengaku bersalah menculik seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun di luar sebuah sekolah menengah di Padang Serai, minggu lalu.
Tertuduh, M. Shyrichs, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Hamizah Mat Shah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menculik pelajar Tingkatan Dua berkenaan daripada jagaan sah ibunya di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Lela Pahlawan pada kira-kira jam 6.30 petang, 23 Julai lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 361 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 363 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun serta denda, jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut mengaku bersalah atas pertuduhan kedua iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa di lokasi, tarikh dan masa yang sama.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Ain Fadilla Mohamad Fauzi, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), V. Nyanasegaran.
Dalam rayuannya, pihak pembelaan memohon hukuman ringan dengan alasan tertuduh bekerja sebagai kelindan lori, belum berkahwin serta hanya memperoleh pendapatan harian yang rendah.
Peguam turut berhujah bahawa pengakuan bersalah tertuduh telah menjimatkan masa mahkamah dan mendakwa perbuatan itu dilakukan kerana terdesak akibat tindakan individu lain.
Pembelaan turut memohon agar kedua-dua hukuman penjara berjalan serentak dan berkuat kuasa dari tarikh tangkapan pada 23 Julai lalu.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman berbentuk pencegahan atas alasan kes itu melibatkan kepentingan awam dan memerlukan hukuman yang setimpal.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 38 bulan bagi kesalahan menculik dan lima bulan penjara bagi kesalahan menyebabkan kecederaan.
Majistret turut memerintahkan kedua-dua hukuman itu dijalankan secara serentak, berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 23 Julai lalu. - Getaran, 29 Julai 2026






