KOTA KINABALU - Pelajar perempuan Tingkatan Satu yang dilaporkan hilang pada Isnin ditemukan dalam keadaan selamat di hadapan rumah rakannya di Inanam.
Gwynne Mia Erbin, 12, ditemui bersendirian di kawasan berkenaan kira-kira jam 3 petang Selasa.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, remaja itu ditemukan dalam keadaan sihat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Hasil keterangan awal, mangsa memaklumkan bahawa dia telah mengikut seorang rakan sejak hari sebelumnya.
"Mangsa kemudian dibawa oleh ibunya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bagi tujuan membuat laporan susulan dan tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan.
Susulan penemuan pelajar tersebut, Syed Lot menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung kejadian itu sehingga siasatan selesai dijalankan.
"Sebarang maklumat berkaitan kes hendaklah dirujuk kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui saluran rasmi.
"PDRM juga merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang telah memberikan kerjasama, menyalurkan maklumat serta membantu menyebarkan hebahan orang hilang," katanya.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan remaja berkenaan tidak hadir ke sekolah selepas dihantar ke sekolahnya di Likas pada pagi Isnin.





