
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berumur 22 tahun dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini kerana membantu melupuskan sebuah motosikal curi.
Hiew Wen Jian mengaku bersalah di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus kerana membantu melupuskan sebuah Yamaha Y15ZR kepunyaan Siti Zakiah Juan Datu di sebuah bengkel di Kg Panaitan, Jalan Taiwan, Kota Marudu, jam 3.30 petang, pada 13 Ogos.
Hiew didakwa bersama dua beradik Bexter Donny, 19, dan Dexter Donny, 21, yang bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan terbabit.
Mereka didakwa bersama di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 24 November untuk pengurusan kes pra-perbicaraan dan membenarkan kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM2,000 setiap seorang serta dua penjamin, selain perlu melapor diri setiap bulan kepada pegawai penyiasat.
Bagi Hiew, pendakwaan berkata Siti Zakiah mengetahui daripada adik lelakinya pada jam 4.30 petang hari sama bahawa motosikal Yamaha miliknya yang digunakan oleh adiknya itu telah hilang dan dipercayai dicuri.
Dia kemudian membuat laporan polis dengan anggaran kerugian sebanyak RM8,000.
Lima hari kemudian, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (CID) Penampang menahan Hiew di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Papar.
Tidak diwakili peguam, dia merayu hukuman ringan.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjaranya bermula dari tarikh dia ditangkap.
Dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 30 tahun mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan menipu melibatkan penjualan kereta Perodua Axia.
Raz-di Mohd Salam membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali atas kedua-dua pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan pertama, Raz-di didakwa menipu Faiz Nazrin Shah pada 16 Ogos 2024 di Perodua Alamesra, di sini, dengan mendakwa dia boleh mendapatkan sebuah Perodua Axia 1.0 G (Auto) dan mendorong Faiz menyerahkan wang berjumlah RM22,200.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengulangi penipuan sama pada 19 Ogos 2024 di Jabatan Pendaftaran Negara, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di sini, menyebabkan Faiz menyerahkan lagi RM20,000.
Mahkamah menetapkan 1 Disember untuk pengurusan kes dan membenarkan Raz-di dibebaskan dengan jaminan RM5,000.
Timbalan Pendakwa Raya Arfa Anchal Khan dan Inspektor Alia Nuurlysa Adnan mengendalikan pendakwaan.


