
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 47 tahun dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan tiga sebatan kerana berulang kali mengambil syabu.
Hakim Mahkamah Sesyen Marlina Ibrahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Jamais Luyang selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut pada Selasa.
Jamais didapati mengambil dadah pada jam 12.10 tengah malam, 4 Julai tahun ini selepas ujian air kencingnya di Balai Polis Beaufort didapati positif dadah. Dia juga mempunyai dua rekod sabitan lampau atas kesalahan sama.
Kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 39C(1)(b) Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukan hukuman penjara antara lima hingga tujuh tahun serta sebatan jika disabitkan.
Selepas selesai menjalani hukuman penjara mahkamah turut memerintahkan Jamais ditempatkan di bawah pengawasan polis selama tiga tahun.
Dua sabitan terdahulu melibatkan Jamais ialah pada 21 November 2017 di mana dia dihukum penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret Beaufort kerana mengambil syabu.
Manakala pada 13 September 2018 dia diperintahkan membayar denda RM2,700 atau penjara lapan bulan sekiranya gagal membayar selepas didapati mengulangi kesalahan sama.
Semasa rayuan Jamais yang tidak diwakili peguam memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman ringan.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya DK Afiqah Alya yang mengendalikan pendakwaan memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran memandangkan kesalahan itu adalah serius dan dilakukan berulang kali.


