
Kota Kinabalu: 12 pendatang tanpa izin (PTI) dijatuhi hukuman penjara dan denda oleh Mahkamah Sesyen pada Rabu selepas mengaku bersalah memasuki negeri ini tanpa dokumen sah.
Kesemua tertuduh membuat pengakuan bersalah secara berasingan di hadapan Hakim Hurman Hussain.
Sembilan daripada mereka dijatuhi hukuman penjara empat bulan setiap seorang manakala tiga lagi didenda RM3,000 setiap seorang dan jika gagal membayar akan dipenjara empat bulan.
Kesemua mereka yang terdiri daripada warga Filipina dan Indonesia ditangkap di beberapa lokasi berasingan di sekitar Kota Kinabalu, Sipitang dan Tenom baru-baru ini selepas gagal mengemukakan dokumen sah kepada pegawai Jabatan Imigresen ketika operasi dijalankan.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 yang memperuntukan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM10,000 serta sebatan jika sabit kesalahan.
Semasa rayuan semua PTI tersebut merayu agar dikenakan hukuman ringan dan dihantar pulang ke negara asal secepat mungkin.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara mereka bermula dari tarikh tangkapan dan selepas tamat hukuman mereka akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk proses deportasi.
Dalam kes berasingan di mahkamah sama sembilan warga Pakistan turut diperintahkan membayar denda kerana tinggal melebihi tempoh sah.
Dua daripada mereka didenda RM10,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar manakala tujuh lagi didenda RM10,000 atau penjara 12 bulan.
Kesemua mereka ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen di Sipitang dan Tenom baru-baru ini selepas didapati tinggal di negeri ini melebihi tempoh sah dokumen mereka selama beberapa bulan hingga beberapa tahun.
Kesemua warga Pakistan itu telah membayar denda dan mahkamah memerintahkan mereka juga dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk dihantar pulang.
Pegawai Pendakwa Chin Tze Mee dari Jabatan Imigresen hadir mewakili pihak pendakwaan.


