Lelaki disambar buaya ketika menjala ditemui maut

LocalEnvironment
19 Feb 2026 • 9:18 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas disambar buaya ketika menjala udang di sungai berhampiran Jambatan Batang Sadong, Sungai Buloh, Kuching, Sarawak, ditemukan meninggal dunia pada Rabu.

Mangsa, Mohd Faizal Abdillah, 29, berasal dari Kampung Rangawan, dilaporkan turun ke sungai bersama rakannya, Mohd Nassarudin Morsalin, 26, kira-kira jam 10 pagi untuk menjala udang. Menurut rakannya, mangsa yang berada di dalam sungai sehingga paras pinggang tiba-tiba disambar seekor buaya sebelum hilang dari pandangan.

Dalam keadaan cemas, Mohd Nassarudin berlari ke pengkalan feri lama Sungai Buluh untuk mendapatkan bantuan sebelum pihak berkuasa dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.

Sejurus menerima laporan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Asajaya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Asajaya, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta penduduk kampung dan persatuan nelayan setempat.

Baca juga:

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi JBPM Sarawak, operasi SAR dianggarkan meliputi radius lapan kilometer dari lokasi mangsa disambar.

Mangsa akhirnya ditemukan nelayan kira-kira jam 2.20 petang, sekitar tiga kilometer dari Pos Kawalan Bomba (PKB). Mayat dibawa ke PKB untuk pengecaman oleh ahli keluarga sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Hasil pemeriksaan mendapati mangsa ditemui dalam keadaan sempurna namun terdapat kesan gigitan pada bahagian perut,” menurut kenyataan itu.

Sumber: Bernama, Info Sarawak

The post Lelaki disambar buaya ketika menjala ditemui maut appeared first on The Reporter.