Lelaki Ditahan Gara-Gara Curi Buku Di Perpustakaan, Siap Jual Di Facebook

LocalPolitics
16 Oct 2025 • 10:09 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Setiap hari, ada sahaja kes jenayah yang dipaparkan di media sosial. Antara yang sering mendapat perhatian adalah jenayah yang melibatkan pembunuhan, samun dan kecurian.

Bila sebut tentang mencuri, lazimnya kebanyakan penjenayah lebih tertarik dan menjadikan barangan bernilai seperti barang kemas atau wang ringgit sebagai sasaran.

Manakan tidak, barang sebegitu mempunyai pulangan yang tinggi serta mudah untuk dijual.

Lelaki Ditahan Kerana Curi Buku Perpustakaan

Namun berbeza pula dengan seorang lelaki berusia lingkungan 50-an ini yang ditahan polis semalam (15 Oktober) kerana disyaki mencuri puluhan buah buku dari dua buah perpustakaan di Kota Bharu, Kelantan.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, lelaki tersebut ditahan kira-kira jam 12.05 tengah malam di sebuah rumah yang terletak di daerah tersebut.

Buku Dicuri Siap Dijual Di Facebook, Anggaran Kerugian Sekitar RM500

Jelas Mohd Rosdi, tindakan lelaki itu terbongkar apabila seorang individu berusia 31 tahun dan bertugas sebagai penolong pegawai penerbitan membuat laporan polis pada 4.53 petang Isnin (13 Oktober) berhubung kes kecurian di sebuah perpustakaan agensi di Kota Bahru.

“Susulan itu, seorang lelaki tempatan ditahan bersama barang kes berkait kes curi buku milik perpustakaan dirampas.

“Hasil siasatan mendapati kejadian disedari pengadu apabila dimaklumkan oleh rakannya berkenaan penjualan buku di laman Facebook yang disyaki dicuri dari perpustakaan itu,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.

Tambah Mohd Rosdi lagi, hasil penelitian yang dibuat oleh pengadu mendapati beberapa buku yang hilang itu kerugiannya dianggarkan bernilai RM500.

Masukkan Buku Yang Dicuri Ke Dalam Baju

Malah, semakan pada kamera litar tertutup (CCTV) turut mendapati lelaki yang tidak dikenali telah datang ke perpustakaan dan mengambil beberapa buah buku dengan cara memasukkan bahan bacaan tersebut ke dalam baju serta terus keluar daripada premis kira-kira jam 11.54 pagi pada Isnin lalu (13 Oktober).

“Lelaki itu ditahan dan beberapa barang kes termasuk 15 buku milik perpustakaan agensi itu dirampas.

“Sementara itu, terdapat laporan polis pada jam 10.23 pagi semalam (14 Oktober), dibuat seorang wanita berusia 40 tahun yang bekerja sebagai pegawai operasi dan kebajikan berkenaan kes kecurian buku di perpustakaan swasta di daerah ini pada 4 Oktober lalu.

“Soal siasat awal mendapati lelaki itu mengaku turut terbabit dalam kes itu. Kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Terang Mohd Rosdi lagi, suspek direman selama lima hari bermula 14 Oktober sehingga 18 Oktober ini.

Source: