Seorang lelaki ditemui mati di sebuah unit apartmen di Bandar Sri Damansara hari ini. Mangsa berusia 36 tahun mengalami 20 kesan tikaman di seluruh badannya, termasuk tangan dan kepala.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 1 pagi daripada orang awam yang berasa bimbang selepas mendengar bunyi pergaduhan dari rumah mangsa.
“Pergaduhan itu diduga berlaku sekitar jam 11 malam Ahad (kelmarin), dan pengadu membuat laporan setelah tidak melihat jirannya keluar selepas kejadian,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Siasatan awal menunjukkan mangsa meninggal dunia akibat luka tikaman di rusuk kiri (lima kali), kepala (enam kali) dan kedua-dua pergelangan tangan (sembilan kali).
Difahamkan, mangsa yang bekerja sebagai pereka dalaman sambilan, tinggal bersendirian di unit apartmen yang dibelinya tahun lalu.
Polis kini sedang mengenal pasti suspek dan motif kejadian ini masih dalam siasatan. Polis tidak menolak kemungkinan kes ini berkaitan dengan kes pecah rumah, kerana beberapa barangan milik mangsa seperti beg duit dan telefon bimbit disyaki telah dicuri.
Orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222 untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
The post Lelaki ditemui mati dengan 20 kesan tikaman appeared first on The Reporter.



