
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 56 tahun didenda sejumlah RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana menggaji dua wanita warga Indonesia, yang tidak mempunyai pas sah.
Teh Chee Hing mengaku di hadapan Hakim Azreena Aziz mengupah wanita warga asing berusia 32 dan 25 tahun itu di Tong Sam Hing Enterprise, Taman Mottou di Keningau antara jam 12.40 tengah hari dan 1.30 petang pada 27 Sept tahun ini.
Mahkamah memerintahkan Teh membayar denda RM10,000 atau sebulan penjara bagi setiap pekerja.
Teh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55B(1) Akta Imigresen yang membawa hukuman denda antara RM10,000 dan RM50,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap pekerja tersebut.
Sementara itu, seorang lagi lelaki didenda sejumlah RM10,000 kerana membenarkan dua pendatang tanpa izin tinggal di premisnya.
Chang Vui Shiun, 50, mengaku bersalah kerana membenarkan dua lelaki pendatang tanpa izin warga Indonesia berusia 33 dan 42 tahun tinggal di Sykt International Home Gas, Kg Rampayan, Jalan Tuaran Bypass pukul 3.10 petang pada 13 Sept tahun ini.
Kesalahan di bawah Seksyen 55E (1) Akta Imigresen itu memperuntukkan hukuman denda antara RM5,000 hingga RM30,000 atau penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya, untuk setiap pendatang tanpa izin terlibat, jika sabit kesalahan.
Chang diperintahkan membayar denda RM5,000 atau sebulan penjara bagi setiap pendatang tanpa izin terlibat.
Mahkamah membenarkan Chang melangsangsaikan bayaran pertama sebanyak RM4,000 pada hari sabitan dan bayaran kedua RM6,000 pada atau sebelum 28 Feb tahun depan.
Mahkamah juga menetapkan 28 Feb 2023 untuk semakan pembayaran.
Pegawai pendakwa imigresen, Chin Tze Mee mengendalikan pendakwaan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

