
Seorang lelaki warga Jepun dijatuhi hukuman penjara dua tahun gara-gara enggan memakai pelitup muka semasa dalam penerbangan hingga pesawat tersebut terpaksa melakukan pendaratan segera, lapor Japan Times.
Difahamkan lelaki berusia 36 tahun itu enggan memakai pelitup muka semasa dalam penerbangan pesawat Peach Aviation dari Lapangan Terbang Kushiro di Hokkaido ke Osaka pada September 2020 lalu.
Imbas kembali ketika kejadian tertuduh bertindak meninggikan suara kepada kru bertugas selepas diminta untuk membuat permohonan maaf ekoran penerbangan tersebut terganggu kerana sikapnya.
Bagaimanapun tertuduh yang juga merupakan bekas kakitangan sambilan di sebuah universiti bertegas mendakwa dirinya tidak membawa bahaya kepada awam (dan penumpang pesawat) ketika itu.
Akibat sengketa itu, penerbangan dari Hokkaido ke Lapangan Terbang Kansai di Osaka tersebut akhirnya mengalami kelewatan kira-kira dua jam 15 minit daripada jangka masa asal.
Dalam masa sama tertuduh diarah keluar dari pesawat ketika perhentian cemas dibuat di lapangan berkenaan.
Justeru hasil perbicaraan yang dijalankan, menurut Mahkamah Daerah Osaka, tertuduh didapati bersalah kerana menghalang operasi pesawat.
“Ia adalah jenayah yang disebabkan oleh rasa yakin akan tindakannya betul. Sikapnya (jelas) menunjukkan dia tidak berfikir tentang tindakan yang dilakukannya,” Hakim Jun Oyori.
Selepas keputusan itu, tertuduh hadir ke mahkamah namun bertindak biadab tidak memakai pelitup muka dan berjalan mendekati hakim sebelum menjerit kepadanya.
“Ini macam pemburuan ahli sihir Zaman Pertengahan. Saya tak bersalah dan ini adalah tuduhan palsu!” jeritnya dalam mahkamah.
Bagaimanapun peguam bela tertuduh berhujah mengatakan anak guamnya (tertuduh) tidak bersalah dan mendakwa tindakannya tidak menggugat keselamatan penerbangan.
Difahamkan selain itu, tertuduh juga turut melakukan kesalahan sama iaitu enggan memakai pelitup muka dalam kejadian di sebuah restoran di Tateyama, wilayah Chiba pada April tahun lepas.
Tertuduh ketika itu turut mengulangi sikap biadabnya dengan membuat kekecohan dan memukul pegawai polis pada bahagian muka sebelum ditahan.
Sumber: Japan Times
The post Padah Enggan Pakai ‘Mask’ Sampai Pesawat Terpaksa Mendarat, Lelaki Bakal Dipenjara appeared first on Siakap Keli.

