
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 38 tahun yang menggunakan resit palsu untu membayar makanannya berjumlah RM2,700, dipenjara 18 bulan.
Majistret Stephanie Sherron Abbie menjatuhkan hukuman itu terhadap Abraham Anthony Daim yang mengaku bersalah kepada pertuduhan terhadapnya pada Isnin.
Abraham telah menggunakan resit pembayaran Maybank bernombor 469399657m pada 4 Sept 2022 di Funky Farm Food Court di Jalan Cyber Perdana, dekat sini.
Kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 465 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan Abraham menjalani hukuman penjara itu dari tarikh dia ditangkap semula iaitu pada 30 Sept 2022.
Semasa rayuan, peguam Lawrence Lim yang mewakili Abraham, memohon kelonggaran dan hukuman bermula dari tarikh tangkap.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Inspektor Suzie Kupit menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap Abraham.
Mahkamah mendengar bahawa Abraham telah makan di gerai pengadu berulang kali dan membuat pembayaran melalui pemindahan wang dalam talian ke akaun CIMB di bawah nama Rocket Enterprise milik pengadu.
Abraham menyerahkan resit transaksi melalui WhatsApp dan pada 20 Sept 2022, pengadu menyemak akaun syarikat dan mendapati tiada pemindahan wang ke dalam akaun seperti resit yang dikemukakan oleh Abraham.
Pengadu telah menyemak semula semua resit bayaran berjumlah RM2,700 dan mendapati resit tersebut adalah palsu.
Pengadu berasa ditipu dan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut kerana mengesyaki Abraham menipunya dengan memalsukan resit pembayaran yang dibuat melalui transaksi dalam talian.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
