
RANAU: Misteri seorang lelaki warga Filipina yang dilaporkan hilang dalam hutan beberapa hari lalu, terbongkar selepas individu itu ditemui dalam keadaan baik berhampiran sebatang sungai di sini, petang Khamis.
Bagaimanapun, sejurus ditemui, ‘mangsa’ itu ditahan apabila didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah. Lelaki berusia 31 tahun itu dilaporkan hilang di kawasan hutan berhampiran Sub-Stesen Mesilau Nature Resort, Kundasang, di sini sebelum ditemui di kawasan Sungai Mesilou 2 empat hari kemudian.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bermula pada 30 Jun apabila Balai Polis Kundasang menerima laporan daripada pengadu memaklumkan seorang lelaki warga Filipina disyaki hilang selepas memasuki kawasan hutan itu.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Susulan laporan itu, Ketua Polis Daerah Ranau, P/Supt Mursalin Mahmud mengarahkan Pegawai Kanan Polis Operasi IPD Ranau, Inspektor Siti Junita Sutian untuk menyusun pasukan khas bagi operasi SAR, termasuk meminta bantuan Unit Dron daripada Pasukan Gerakan Udara (PGU) Sabah.
Pasukan IPD Ranau turut dibantu pasukan Bomba, Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), Komuniti Mesilou Bukit Maragang dan Taman-Taman Sabah serta pasukan mencari dan menyelamat gunung (MoSAR).
Operasi ditamatkan pada 3 Julai selepas Balai Polis Kundasang menerima maklumat daripada pegawai Renjer, Bahagian Penguatkuasaan Sub-Stesen Mesilau kira-kira jam 4.35 petang, memberitahu individu itu telah ditemui.
Selepas itu, individu tersebut dibawa ke IPD Ranau untuk tindakan lanjut.
Siasatan mendapati individu itu disyaki masuk dan tinggal di Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah.
Dia diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJD) Daerah Ranau dan kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.



