Lelaki hilang di hutan Maliau Basin

17 Oct 2025 • 3:32 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Seorang lelaki dikhuatiri hilang ketika melakukan aktiviti memancing dan mencari hasil hutan di Batu 32, Jalan Kalabakan - Maliau Basin pada Selasa lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata usaha menjejaki mangsa yang dikenali sebagai Khairul Saharin, 31, masih giat dilaksanakan pasukannya dalam operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) bermula Khamis.

Beliau berkata hasil laporan yang diperolehi dari pihak polis seorang pemanggil membuat laporan orang hilang pada Rabu yang menyatakan sepupunya (mangsa) hilang sekitar jam 4 petang dan masih tidak pulang ke rumah sehingga kini.

“Pemanggil dan mangsa berpisah semasa hendak pulang semula ke tapak perkhemahan mereka.

“Sepupu mangsa cuba menghubungi mangsa melalui aplikasi WhatsApp untuk menjejaknya.

“Bagaimanapun mangsa dikatakan memberitahu sepupunya itu bahawa bateri telefon bimbitnya hampir habis dan sehingga kini mangsa lagi tidak dapat dihubungi.

“Dalam laporan itu juga sepupu mangsa cuba melakukan pencarian tetapi gagal menjumpai lelaki terbabit kerana keadaan cuaca hujan,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.

Dalam pada itu Jemishin memberitahu operasi SAR dilaksanakan dengan berjalan kaki menyusuri denai sejauh anggaran dua kilometer (km) bermula di tempat letak kereta ke Base Camp (CP1) melalui kawasan air terjun dan seterusnya mendaki kawasan bukit sehingga ke puncak (CP2).

Menurutnya pencarian juga dilakukan di puncak bukit (CP2) menuruni bukit sehingga ke kawasan sungai (CP3) dan ke Starting Point semula namun mangsa belum ditemui.

Jemishin berkata operasi SAR ditangguh pada jam 3 petang dan akan disambung pada Jumaat.

Terdahulu Bilik Kawalan BBP Tawau menerima maklumat daripada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kalabakan berkenaan insiden itu pada jam 8.50 pagi, Khamis.

Sepasukan empat anggota BBP kemudiannya tiba di lokasi pada jarak 180 KM pada jam 11.51 pagi bagi melaksanakan SAR bersama empat anggota PBS Kalabakan, polis (11) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Seramai tiga orang.