
TAWAU: Seorang lelaki warga asing dipercayai terlibat sebagai pengedar dadah jenis syabu di berjaya diberkas di kawasan penempatan setinggan Kampung Vietnam Tanjung Batu pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata suspek berumur dalam lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 10.30 pagi oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah.
“Penahanan suspek dilakukan hasil daripada maklumat awam dan risikan yang dijalankan di kawasan penempatan setinggan terbabit terhadap gerak-geri lelaki itu yang dikesan mencurigakan”, katanya dalam kenyataan media pada Rabu.
Mengulas lanjut Jasmin berkata polis menemui tujuh paket plastik lutsinar berisi hablur jernih yang disyaki syabu seberat 52 gram dianggarkan bernilai sekitar RM5,500 hasil pemeriksaan terhadap beg suspek.
“Hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas lelaki warga asing itu juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
Pemeriksaan dokumentasi pula mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah untuk bekerja atau tinggal di negara ini”, katanya.
Beliau memaklumkan suspek kini ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) di bawah akta yang sama.

