KOTA BELUD - Lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi bersama rakannya di sungai ditemukan lemas di Kampung Purak Ogis Supuan, di sini pada Rabu.
Mayat Fernandez Anak Sawing@Andin, 33, ditemukan terdampar di atas batu di kawasan sungai kira-kira 2.1 kilometer dia dilaporkan hilang.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa memasuki hari kedua selepas ditangguhkan pada jam 8.15 malam Selasa disebabkan faktor cuaca.
"Pada SAR hari kedua, komander melaporkan mangsa telah ditemui oleh orang awam pada jam 6.30 pagi di kawasan sungai di atas batu.
"Keadaan sungai semalam banjir disebabkan kepala air dan hari ini telah surut menyebabkan mangsa ditemui terdampar di atas batu di sungai tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Katanya, pasukannya bertindak menggunakan pengusung untuk mengambil mangsa dari kawasan sungai tersebut.
"Mangsa disahkan meninggal dunia dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya," katanya.
Sebelum itu, Sinar Harian pada Selasa melaporkan mangsa salah seorang daripada rombongan pelajar di sebuah kolej ke sungai tersebut untuk beriadah.
Mangsa bersama seorang lagi rakannya mandi di sungai tersebut sebelum dia dilaporkan hilang dibawa arus.



