
KOTA BELUD: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika menangkap ikan di sungai Kampung Kadamaian, bersempadan Kampung Pirasan dan Kampung Piasau di sini, ditemui lemas pada pagi Khamis.
Mayat mangsa dikenali Md Affendy Mujah, 29, yang disedari hilang ketika sedang menyelam kira-kira jam 1.30 pagi, ditemui penduduk kampung selepas lebih tujuh jam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, mangsa disahkan meninggal dunia selepas ditemui penduduk kampung kira-kira jam 8.30 pagi di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Pasukan bomba yang dibantu penduduk kampung kemudiannya mengangkat mangsa ke tepi sungai.
“Mangsa seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, Khamis.
Menurutnya, pihaknya dihubungi pada jam 2.19 pagi dan seramai 10 anggota berserta jentera dikerah ke lokasi kejadian, di mana operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian dijalankan menggunakan kaedah pencarian permukaan air.
“Pencarian mangsa dijalankan di sekitar 200 meter dari kawasan mangsa dilaporkan hilang,” katanya, menambah operasi ditamatkan jam 8.50 pagi selepas menerima maklumat penemuan mangsa.
Terdahulu, sumber mengatakan mangsa bersama empat rakan termasuk ahli keluarga, baru sahaja selesai memasang pukat di kawasan sungai berkenaan.
Difahamkan, mereka kembali menyelam untuk melakukan aktiviti memanah ikan, sebelum mangsa disedari hilang selepas tidak timbul 10 minit kemudian.
Usaha rakan serta ahli keluarga mencari mangsa gagal dan mereka menghubungi pihak bomba untuk bantuan.



