
PETALING JAYA: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak empat hari lalu ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah kereta di tepi Jalan Impian Mahkota 1, Kajang semalam.
Mayat lelaki tempatan berusia 50-an itu ditemukan di tempat duduk pemandu kereta Perodua Axia terbabit dan kematiannya disahkan pasukan perubatan Hospital Kajang.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat itu pada pukul 11.29 malam.
“Pemeriksaan awal mendapati enjin kereta berkenaan tidak dihidupkan manakala pintunya berkunci dari dalam.
“Pihak bomba membantu membuka pintu kenderaan tersebut dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Kajang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian, manakala bedah siasat akan dilakukan untuk menentukan punca kematian.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Shisheewady Ruzani menerusi talian 016-856 5670 bagi membantu siasatan,” katannya. – UTUSAN
The post Lelaki hilang sejak Selasa lalu ditemukan meninggal dunia dalam kereta appeared first on Utusan Malaysia.






