Lelaki hilang selepas keluar cari petai di kebun

28 Jul 2026 • 3:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lelaki hilang selepas keluar cari petai di kebun
Operasi mencari dan menyelamat telah diaktifkan melibatkan pasukan keselamatan dengan bantuan anjing pengesan serta orang awam, meliputi radius dua kilometer dari lokasi mangsa dipercayai hilang. Gambar kecil: Mohd Tarmizi

KUALA NERUS - Seorang lelaki berusia 44 tahun dilaporkan hilang selepas keluar mencari petai di kebun durian di Bukit Kampung Gemuruh, Tepoh, dekat sini pada Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan Mohd Tarmizi Alias pada jam 2.15 petang semalam daripada keluarganya.

"Mangsa didakwa keluar seorang diri untuk ke kebun kira-kira 15 kilometer dari rumah pada jam 10.30 pagi dengan menunggang motosikal Honda Wave tanpa membawa dokumen pengenalan diri serta telefon bimbit,” katanya semasa dihubungi pada Selasa.

Azli berkata, operasi mencari dan menyelamat telah diaktifkan melibatkan pasukan keselamatan dengan bantuan anjing pengesan serta orang awam, meliputi radius dua kilometer dari lokasi mangsa dipercayai hilang.

Sementara itu, adik mangsa Noor Suriati, 35, berkata, ibunya Aminah Awang, 61, sudah dua hari tidak tidur lena kerana bimbang akan keselamatan abangnya yang lazimnya pulang ke rumah di Kampung Petaling, Tepoh sebelum Maghrib.

"Abang akan beritahu mak jika hendak ke kebun, tetapi pada hari kejadian dia tergesa-gesa dan tidak sempat beritahu sesiapa.

"Mak beritahu kami selepas abang tidak pulang sehingga malam, menyebabkan adik-beradik lelaki dan orang kampung cuba mencari di kebun tetapi hanya menemukan motosikalnya di kaki bukit,” katanya.

Noor Suriati berkata, Mohd Tarmizi, anak kedua daripada sembilan beradik itu sangat mahir dengan keadaan di kebun itu kerana sering membantu ayahnya selain turut mengambil upah memanjat pokok petai atau mengutip durian di kebun berhampiran. - Bernama

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved