
KUALA LUMPUR – Dakwaan mengenai peningkatan kos pengurusan kematian dalam masyarakat Cina sehingga mencecah puluhan ribu ringgit didakwa menjadi antara faktor yang mendorong segelintir individu memeluk Islam pada usia lanjut.
Perkara itu dikongsikan oleh seorang pengguna media sosial dikenali sebagai Jacob Chai menerusi satu video yang dimuat naik di TikTok dan telah meraih lebih 2 juta tontonan dalam tempoh tiga hari.
Kos pengurusan kematian didakwa semakin meningkat
Menurut Jacob, kos pengurusan kematian masyarakat Cina kini semakin meningkat susulan kenaikan harga barangan serta perkhidmatan berkaitan.
“Ramai orang Cina masuk Islam dan jadi mualaf sebab kos orang Cina mati semakin tinggi dan mahal. Harga barang semakin mahal, maka orang Cina yang sudah berumur dan tua akan pilih masuk Islam sebab tidak mahu susahkan keluarga dan anak-anak,” katanya.
Beliau turut mendakwa terdapat individu yang dipengaruhi ahli keluarga untuk memeluk Islam bagi memudahkan urusan pengebumian serta mengurangkan beban kewangan yang perlu ditanggung waris.
Kos boleh mencecah sehingga RM100,000
Menurutnya, masyarakat Cina lazimnya mempunyai dua pilihan utama dalam pengurusan kematian iaitu pembakaran mayat atau pengebumian di tanah perkuburan.
Dakwanya, kos pembakaran mayat dianggarkan antara RM20,000 hingga RM50,000, manakala kos pengebumian pula boleh mencecah antara RM50,000 hingga RM100,000 bergantung kepada faktor tertentu termasuk lokasi tanah perkuburan.
Jacob berkata, kos berkenaan dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa dan boleh memberi tekanan kepada sesetengah keluarga terutama golongan berpendapatan sederhana.
Pengurusan jenazah Islam dilihat lebih mudah
Pada masa sama, beliau berpendapat urusan pengurusan jenazah bagi umat Islam dilihat lebih mudah kerana kebiasaannya dilakukan dalam tempoh singkat selain mendapat bantuan daripada pihak masjid, surau atau badan kebajikan.
“Kalau peluk Islam sebelum mati, urusan lebih mudah sebab ada pihak bantu dari awal hingga selesai.
“Orang Islam meninggal dunia pada hari tersebut, hari sama juga akan ditanam. Tidak seperti kaum lain yang perlu simpan mayat,” katanya.
Bagaimanapun, dakwaan yang dikemukakan itu merupakan pandangan peribadi individu terbabit dan telah mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial. – The Malaysian Update
The post Lelaki Ini Dedah Sebab Ada Yang Pilih Jadi Mualaf Pada Usia Tua appeared first on The Malaysian Update.
