Lelaki Jepun Diberkas Selepas Cipta Virus Komputer Guna AI

29 May 2024 • 9:38 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Lelaki Jepun Diberkas Selepas Cipta Virus Komputer Guna AI

Seorang lelaki berasal dari Kawasaki diberkas oleh pihak berkuasa Jepun selepas mencipta perisian hasad dengan menggunakan kecerdasan buatan (AI) generatif aktif yang boleh didapati secara percuma di atas talian.

Menurut The Japan Times, lelaki berusia 25 tahun itu ditahan oleh Jabatan Polis Metropolitan kerana disyaki mencipta rekod elektronik tanpa kebenaran.

Suspek sebelum ini pernah ditahan selepas didapati terlibat dengan aktiviti penipuan dan telefon bimbitnya turut dirampas.

Polis kemudian mula mengesyaki suspek sedang membangunkan perisian hasad selepas mendapat bukti melalui pemeriksaan ke atas peranti berkenaan.

Sebelum ini, amat jarang dan hanya terdapat beberapa kes dimana polis mengambil tindakan undang-undang terhadap aktiviti mencipta perisian hasad menggunakan AI.

Dalam pada itu, The Japan Times melaporkan suspek membina perisian hasad berkenaan sejak Mac lalu dengan cara menggabungkan beberapa reka bentuk perisian hasad haram sedia ada.

Lelaki Jepun ditahan, cipta virus guna AI untuk dapatkan wang

“Virus yang dicipta itu direka bentuk untuk melakukan beberapa perkara. Antaranya menyulitkan data pada sistem yang disasarkan bagi menuntut wang tebusan,” kata polis.

Bagaimanapun, suspek dipercayai gagal untuk mendapatkan satu program yang mana diperlukan untuk memastikan perisian hasad tersebut dapat digunakan.

Oleh itu, polis percaya perisian hasad yang dibangunkan suspek tidak mendatangkan sebarang kerosakan setakat ini.

Suspek yang merupakan bekas pekerja kilang juga dipercayai tidak mempunyai kepakaran dalam pembangunan perisian hasad.

Ketika disoal siasat, suspek mengaku melakukan jenayah tersebut dan bertujuan untuk mendapatkan wang dengan mudah.

Suspek belajar secara atas talian cara-cara mengatasi pendekatan keselamatan AI

Menurut The Japan Times lagi, penyedia perkhidmatan AI generatif mempunyai cara tersendiri untuk menghalang daripada jawapan disediakan kepada soalan-soalan yang menjurus kepada perbuatan jenayah.

Oleh itu, suspek didakwa telah mendapatkan maklumat secara dalam talian berkenaan cara-cara mahu bertanya soalan-soalan ‘tidak selamat’ kepada AI.

Suspek kemudiannya dikatakan berjaya mengatasi pendekatan keselamatan yang ditetapkan pada AI dan bertanya soalan mengenai perisian hasad berdasarkan tip-tip yang diperolehi.