SEPANG – Tindakan seorang lelaki menjual barangan tiruan membawa padah apabila didenda RM200,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas tujuh pertuduhan menjalankan urus niaga terbabit empat tahun lalu.
Lelaki berusia lingkungan 30-an itu selaku orang kena saman (OKS) dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim, Ahmad Fuad Othman.
Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, OKS didakwa mempunyai kawalan ke atas pelbagai barangan bagi tujuan perdagangan termasuk selipar, pakaian, topi, tali pinggang dan aksesori pakaian yang menggunakan cap dagangan berdaftar daripada beberapa jenama terkenal tanpa kebenaran pemilik sah.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Telok Panglima Garang, Kuala Langat pada 21 April 2022.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 100 Akta Cap Dagangan 2019 kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 102(1)(c) akta sama yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 102(1)(ii).
Bagi individu yang bukan pertubuhan perbadanan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang yang dipakai dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bagi kesalahan kedua dan seterusnya pula, hukuman boleh meningkat kepada denda tidak melebihi RM20,000 bagi setiap barang atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hasim bersama Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Khairul Affandi Md. Jani.
Difahamkan, kes tersebut merupakan kes pertama pada tahun ini yang merekodkan nilai denda tertinggi di bawah Akta Cap Dagangan 2019 bagi tahun 2026.
Sementara itu, berdasarkan kenyataan media, KPDN Selangor menerusi Kempen Kita Gempur menegaskan pihaknya komited mempergiat operasi penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang berkaitan perdagangan dan hak harta intelek terus dipatuhi.
Menurut kementerian itu, tindakan memanipulasi hak harta intelek bukan sahaja menjejaskan pemilik cap dagangan yang sah berdaftar dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), malah memberi kesan buruk terhadap ekosistem ekonomi perdagangan negara.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah etika dalam urus niaga boleh menyalurkan aduan kepada pihak kementerian.
“Sila hubungi kami menerusi aplikasi WhatsApp di talian 019-848 8000, aplikasi Ez Adu KPDN, talian hotline KPDN 1-800-886-800 atau portal e-aduan.kpdn,” katanya.






