APABILA bercakap mengenai jenayah seksual terhadap kanak-kanak, ramai masih membayangkan mangsa adalah kanak-kanak atau remaja perempuan manakala pelakunya pula lelaki dewasa.
Hakikatnya, tanggapan itu semakin jauh daripada realiti sebenar.
Hari ini, kanak-kanak ataupun remaja lelaki sebenarnya semakin terdedah menjadi mangsa gangguan, pengantunan (grooming), eksploitasi dan penderaan seksual, manakala pelakunya pula bukan hanya lelaki, malah boleh jadi adalah seorang wanita
Pelaku boleh hadir dalam rupa individu yang kelihatan penyayang, lembut dan dipercayai, malah jantina yang tidak disangka-sangka.
Beberapa kes dilaporkan kebelakangan ini membuktikan bahawa kanak-kanak atau remaja lelaki juga tidak terkecuali menjadi sasaran.
Kes remaja lelaki yang dikurung, diikat dan diliwat di Shah Alam baru-baru ini menjadi bukti jelas bahawa lelaki juga boleh menjadi mangsa jenayah seksual.
Kes guru wanita didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap pelajar lelakinya yang berusia 14 tahun sejak tahun lalu pula memecahkan stereotaip bahawa wanita mustahil menjadi pelaku.
Ketika penulis menemu bual Pengarah Eksekutif Protect and Save the Children, Amnani A Kadir baru-baru ini, beliau mendedahkan satu realiti yang mungkin tidak disedari masyarakat.
Menurut beliau, pelaku jenayah seksual bukan hanya terdiri daripada lelaki dewasa, malah boleh melibatkan wanita dan rakan sebaya.
Katanya, masih ramai beranggapan wanita lebih selamat serta tidak mungkin bertindak sebagai pemangsa, sedangkan terdapat kes membabitkan wanita yang menggunakan kepercayaan diberikan keluarga untuk mengeksploitasi kanak-kanak.
Pendedahan tersebut cukup membuka mata bahawa jenayah seksual hari ini semakin kompleks dan menakutkan.
Pemangsa tidak lagi mempunyai wajah tertentu dan terhad kepada satu jantina semata-mata. Mereka boleh terdiri daripada individu yang paling dipercayai, paling rapat dan paling kerap berada di sisi anak-anak.
Disebabkan itu, kita semua perlu berhenti berfikir bahawa hanya anak perempuan perlu dilindungi, manakala anak lelaki dianggap kuat dan mampu menjaga diri sendiri.
Hakikatnya, trauma dialami mangsa lelaki juga sama berat dan boleh meninggalkan kesan emosi berpanjangan hingga dewasa.
Malangnya, ramai mangsa lelaki membesar dalam ketakutan dan rasa bersalah kerana tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan bantuan.
Ada yang memilih mendiamkan diri bertahun-tahun kerana takut dipersoalkan atau dianggap mereka sendiri rela diperlakukan sedemikian.
Tidak kira siapa pun mangsanya, keluarga khususnya sebagai orang terdekat perlu menjadi tempat paling selamat buat mereka untuk bercerita, mendapatkan kekuatan dan memulakan proses pemulihan tanpa rasa takut atau malu.
Kadangkala satu pelukan, kata semangat dan kesediaan untuk mendengar tanpa menghukum sudah cukup memberi kekuatan besar kepada mangsa yang sedang bertarung dengan trauma.
Bila berlaku kes melibatkan lelaki sebagai mangsa atau wanita sebagai pelaku, jangan juga terus menafikan, memperlekeh atau menganggap ia luar biasa.
Apa yang paling penting, masyarakat perlu memahami bahawa jenayah seksual tidak mengenal jantina. Lelaki boleh menjadi mangsa, wanita juga boleh menjadi pelaku.






