
JAKARTA – Sebuah klip video memaparkan perbuatan mengintai yang dilakukan oleh seorang lelaki di dalam tandas lelaki sebuah pusat beli-belah di Kota Bekasi, wilayah Jawa Barat menjadi tular di media sosial, lapor halaman berita Lambe Turah
Dalam kejadian itu, mangsa yang dikenali sebagai AP, 22, bagaimanapun memutuskan untuk menyelesaikannya secara damai selepas suspek ditahan.
Berdasarkan kenyataan polis tempatan, kejadian berlaku pada Sabtu lalu kira-kira pukul 7.00 malam (waktu tempatan) ketika mangsa sedang menggunakan salah satu tandas.
Mangsa curiga apabila mendapati ada individu mengintai dari petak tandas bersebelahan.
Bagi mengumpul bukti, mangsa berpura-pura keluar dari tandas sebelum masuk semula secara senyap untuk merakam tindakan suspek menggunakan kamera telefon bimbitnya.
Berdasarkan rakaman video yang tular itu, kelihatan seorang lelaki yang kemudiannya dikenal pasti sebagai MEPP, 40, sedang mengintai dari bahagian atas penghadang tandas.
Mangsa yang menyedari perbuatan itu bertindak menahan suspek sebelum menyerahkannya kepada petugas keselamatan pusat beli-belah untuk tindakan lanjut.
Pegawai Perhubungan Awam Polis Metro Bekasi Kota, AKP Suparyono mengesahkan polis telah membuat pemeriksaan di lokasi kejadian selepas insiden itu mendapat perhatian luas masyarakat.
“Mangsa sempat merakam perbuatan suspek sebagai bahan bukti sebelum membawanya kepada pihak keselamatan,” katanya.
Menurut Suparyono, semua pihak yang terlibat telah didokumentasikan identiti mereka bagi tujuan rekod polis.
Walaupun insiden tersebut mencetuskan kemarahan netizen, mangsa enggan memanjangkan kes dan memutuskan tidak membuat laporan polis secara rasmi.
Polis mengesahkan kes itu diselesaikan secara musyawarah dan mufakat.- AGENSI
The post Lelaki ‘kantoi’ mengintai dalam tandas lelaki appeared first on Kosmo Online.





