
KUALA LUMPUR - Adik lelaki seorang selebriti berusia 21 tahun bersama ibunya, 51, ditahan selepas didakwa terbabit dalam ritual agama lain.
Video yang memaparkan penglibatan mereka turut tular di media sosial.
Dikenali sebagai Aliff Daniel, isu berkenaan dikatakan turut memiliki kaitan dengan abangnya.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, penahanan kedua-dua individu itu dilakukan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di sini petang tadi, berdasarkan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam.
Menurut beliau, JAIS turut mengenal pasti sekurang-kurangnya 14 individu lain yang bakal dipanggil bagi membantu siasatan.
“Kedua-dua individu itu disiasat mengikut Seksyen 4 dan Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Shahzihan turut meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang andaian atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan.
Tegas beliau, JAIS memandang serius perkara itu dan akan memastikan semua tindakan dilaksanakan mengikut bidang kuasa serta peruntukan undang-undang yang berkaitan.
Dalam perkembangan berkaitan, tindakan bersama antara pihak berkuasa agama negeri dan polis sedang dilaksanakan, susulan penularan beberapa video di media sosial yang memaparkan umat Islam menyertai ritual agama lain.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, tindakan susulan akan diambil oleh pihak berkuasa berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing dan peruntukan undang-undang sedia ada.
Beliau berkata, JAKIM juga sudah mengemukakan laporan berhubung perkara itu kepada jabatan agama Islam negeri terbabit untuk penelitian dan siasatan lanjut. - Getaran, 13 Oktober 2026






