Seorang mekanik yang sebelum ini koma lebih seminggu selepas motosikal ditunggangnya terbabas ketika dipercayai dikejar sekumpulan anjing liar di Taman Teluk Gedung Indah, Klang kini berdepan kemungkinan mengalami kecederaan otak kekal.
Mangsa, Muhammad Shahrul Yuzzi Che Ahmad, 27, sudah dibenarkan keluar dari hospital selepas menjalani pembedahan, namun masih mengalami gangguan ingatan dan perlu dipantau ahli keluarga sepanjang masa.
Advertisement
Menurut kakaknya, Rozaini Che Ahmad, 43, doktor memaklumkan keadaan adiknya mungkin tidak kembali normal sepenuhnya akibat kecederaan yang dialami.
“Alhamdulillah dia kini sudah boleh berjalan, bercakap dan makan sendiri, tetapi ingatannya masih terganggu.
“Kadang-kadang dia ingat, lupa dan ada masanya bercakap perkara yang merapu,” katanya.
Mengimbas kejadian pada awal pagi 13 Julai lalu, Rozaini berkata adiknya sedang dalam perjalanan pulang dari kedai sebelum dipercayai dikejar sekumpulan anjing liar.

Muhammad Shahrul kemudian dipercayai hilang kawalan lalu terjatuh sehingga mengalami pendarahan serius di bahagian kepala dan terpaksa menjalani pembedahan kecemasan.
“Doktor beritahu pendarahan di kepala terlalu banyak dan peluangnya ketika itu hanyalah 50 peratus, namun keluarga kemudian diminta membuat keputusan segera untuk membenarkan pembedahan dilakukan.
“Selepas pembedahan, dia ditidurkan dan hanya sedar kira-kira seminggu kemudian,” katanya.

Dalam masa sama, dia berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap isu anjing liar di kawasan perumahan tersebut bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Menurut Rozaini, dia sendiri pernah dikejar empat ekor anjing ketika menunggang motosikal bersama anak kecil dan seorang lagi kanak-kanak berusia lima tahun. Beberapa jiran turut didakwa pernah melalui situasi sama.
Bagaimanapun, keluarga kini reda dengan kejadian tersebut dan bersyukur Muhammad Shahrul selamat serta menunjukkan perkembangan positif. – SINAR HARIAN
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

Aktivis Belia Dakwa Anggota PBT Ikut SOP, Gesa Orang Ramai Semak Fakta Sebelum Menuduh - "Jangan Hanya Lantang Di Media Sosial"
The post Lelaki Koma Seminggu Akibat Dikejar Anjing Liar Berdepan Kecacatan Otak Kekal first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.





