Operasi tangkap anjing liar bertukar kecoh, MBDK tegaskan ikut SOP

31 Jul 2026 • 5:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Operasi tangkap anjing liar bertukar kecoh, MBDK tegaskan ikut SOP
Seorang pemuda koma lebih seminggu selepas motosikal ditunggangnya terbabas ketika dikejar kira-kira enam ekor anjing liar. Foto ihsan penduduk

KLANG – Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menegaskan operasi menangkap anjing liar di Taman Teluk Gedung Indah di sini pada Khamis dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) serta piawaian yang ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), meskipun operasi itu bertukar kecoh selepas dihalang seorang individu.

Operasi yang dijalankan susulan aduan penduduk mengenai ancaman anjing liar itu turut mengambil kira insiden seorang pemuda yang koma lebih seminggu selepas motosikal ditunggangnya terbabas ketika dikejar sekumpulan haiwan berkenaan pada 13 Julai lalu.

MBDK dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, operasi dari jam 8.30 malam hingga 12 tengah malam itu dijalankan mengikut Undang-Undang Kecil 17(1), Pelesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing MPK 2007.

Menurut MBDK, operasi berkenaan melibatkan seorang pegawai dan 11 kakitangan Jabatan Kesihatan MBDK bersama kira-kira 50 penduduk setempat dengan semua tangkapan menggunakan peralatan loop yang mematuhi piawaian KPKT bagi memastikan proses penguatkuasaan dijalankan secara selamat serta mengutamakan kebajikan haiwan.

Katanya, sebanyak 12 ekor anjing liar berjaya ditangkap sepanjang operasi tersebut.

“Bagaimanapun, ketika operasi di Jalan Sama Gagah 20, sekumpulan individu telah menghalang anggota MBDK ketika proses menangkap seekor anjing yang didapati berkeliaran tanpa pengawasan di jalan awam.

“Seorang individu bertindak agresif dengan cuba memotong tali loop menggunakan sebilah pisau selain mengugut untuk mencederakan diri sendiri sekiranya haiwan itu tidak dilepaskan,” menurut kenyataan itu.

MBDK berkata, tindakan tarik-menarik dan kekecohan yang berlaku menyukarkan anggota penguat kuasa melonggarkan serta melepaskan peralatan berkenaan demi keselamatan haiwan sehingga menyebabkan anjing tersebut mati.

“Bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih tegang dan menghindari kecederaan kepada mana-mana pihak, anggota MBDK telah melepaskan peralatan tersebut,” katanya.

Susulan kejadian itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) hadir ke lokasi bagi mengawal keadaan.

MBDK turut membuat laporan polis berhubung dakwaan menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta ancaman menggunakan senjata tajam untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.

Majlis itu menegaskan kekal komited melaksanakan penguatkuasaan secara profesional, berhemah dan mematuhi piawaian kebajikan haiwan.

MBDK turut meminta semua pemilik haiwan peliharaan supaya lebih bertanggungjawab dengan memastikan lesen haiwan sentiasa sah serta tidak membiarkan haiwan berkeliaran sehingga mengganggu keselamatan awam.

Menurut MBDK, siasatan kes itu diserahkan sepenuhnya kepada PDRM dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menghalang penjawat awam menjalankan tugas rasmi.

Sementara itu, seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 40-an berkata, masalah anjing liar di Taman Teluk Gedung Indah sudah berlarutan hampir dua tahun sehingga mengancam keselamatan penduduk.

Menurutnya, kejadian paling serius berlaku pada 13 Julai lalu apabila seorang pemuda berusia lingkungan 20-an koma lebih seminggu selepas motosikal ditunggangnya terbabas ketika dikejar kira-kira enam ekor anjing liar.

“Mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli makanan sebelum dikejar hampir 100 meter. Dia hilang kawalan ketika melalui bonggol lalu terjatuh sehingga mengalami kecederaan parah di kepala.

“Akibat kecederaan itu, mangsa menjalani pembedahan membuang darah beku di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan kini masih menerima rawatan,” katanya.

Ahmad berkata, kawasan itu juga pernah merekodkan kes seorang kanak-kanak cedera akibat diserang anjing liar, sekali gus mendorong penduduk membuat beberapa aduan kepada MBDK dan wakil rakyat supaya tindakan segera diambil.

Mengulas insiden kekecohan ketika operasi, beliau mendakwa anjing yang menjadi pertikaian dipercayai mempunyai pemilik, namun dibiarkan berkeliaran sehingga mengganggu keselamatan penduduk.

“Kebanyakan anjing yang bertuan dipelihara di dalam kawasan rumah. Saya tidak tahu mengapa anjing itu dibiarkan bebas,” katanya

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved