Lelaki Kongsi “Detik Ngeri” Abah ‘Hilang’ Dalam Ladang Sawit Berhantu

7 Apr 2025 • 10:02 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Lelaki Kongsi “Detik Ngeri” Abah ‘Hilang’ Dalam Ladang Sawit Berhantu

Seorang lelaki berkongsi detik cemas apabila ayahnya yang sudah berusia, tetapi masih gagah memandu sendirian, tiba-tiba sesat selepas mengikuti panduan aplikasi Waze.

Kereta yang dipandu ayahnya itu akhirnya terperangkap di dalam kawasan ladang sawit lama yang dikatakan ‘berhantu’ di Benta, Pahang.

Menurutnya, kejadian tersebut berlaku pada hari raya keempat, apabila si ayah memulakan perjalanan solo dari Gua Musang, Kelantan ke Bandar Penawar, Johor.

Demi mahu elak kesesakan, beliau bergantung sepenuhnya kepada aplikasi Waze untuk panduan laluan terbaik.

Namun tanpa disedari, Waze ‘menghantar’ beliau terus ke dalam jalan tanah berlumpur, jauh ke dalam ladang sawit lama yang sunyi dan tidak berpenghuni.

Tak ingat apa-apa – Tiada landmark, tiada petunjuk

Akhirnya, kereta Proton Iswara yang dipandunya tersekat. Lebih membimbangkan, ayahnya langsung tidak perasan persekitaran sepanjang laluan tersebut kerana terlalu fokus pada skrin telefon dan arahan suara Waze.

Bila pihak bomba dan polis bertanya, ayahnya tidak dapat memberikan sebarang petunjuk – tiada nama jalan, tiada rumah penduduk, tiada masjid atau bangunan terakhir yang dilalui.

Semua kelihatan ‘kosong’ di ingatannya. Katanya, dia cuma ikut saja arah dari Waze tanpa ambil peduli kiri kanan jalan.

Apabila hari mulai gelap dan tiada sesiapa di sekitar, si ayah bijak membuat keputusan dengan menelefon talian kecemasan 999, dan panggilan itu disambungkan ke pihak Bomba Pahang.

Namun timbul masalah besar apabila si ayah langsung tidak tahu cara untuk berkongsi lokasi menggunakan aplikasi Waze, WhatsApp atau Google Maps. Malah untuk tangkap layar pun tidak tahu.

Semua usaha ahli keluarga dan pihak berkuasa untuk membimbing beliau berkongsi lokasi semasanya gagal. Bukan kerana tidak mahu, tetapi kerana beliau tidak mahir teknologi.

Tambahan pula, bateri telefon semakin lemah dan akhirnya ‘padam’ terus.

Ada ‘penumpang’ bersama Abah

Ketika video call bersama polis sekitar jam 8.30 malam hingga 9.30 malam, berlaku satu lagi detik ‘mengerikan’.

Pegawai polis ternampak seperti ada seorang lelaki lain duduk di tempat duduk penumpang bersebelahan si ayah.

Namun apabila ditanya, ayah dengan tenang menjawab bahawa beliau memandu seorang diri dan tidak nampak sesiapa pun di dalam atau luar kereta.

Bayangkan berada dalam gelap malam, sendirian di kawasan ladang sunyi, dan tiba-tiba ada ‘penampakan’ misteri yang tidak dapat dijelaskan.

Abah dijumpai

Walaupun terputus hubungan selepas bateri telefon habis sepenuhnya, pihak Bomba dan PDRM tidak berhenti di situ.

Usaha pencarian diteruskan, dan akhirnya sekitar jam 10.02 malam, dengan bantuan penduduk Kampung Olak Batang, Benta, Pahang, ayahnya berjaya ditemui dalam keadaan selamat.

Menurut lelaki itu lagi, teknologi seperti Waze memang sangat membantu, tetapi ia ‘tidak sempurna’.

“Kecerdasan buatan (AI) dalam aplikasi pemetaan atau pemanduan seperti Waze, Google Maps dan seumpamanya tidaklah sepenuhnya boleh dipercayai.

“Sebagai pengguna, kita tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada panduan yang diberikan oleh aplikasi berkenaan.

“Algoritma AI dalam aplikasi Waze dibangunkan dan diprogramkan hanya untuk membantu kita membuat keputusan berdasarkan data pemetaan serta keadaan trafik semasa di sesuatu lokasi pengguna,” katanya.

Lebih penting, pastikan ahli keluarga yang sudah berusia tahu asas penggunaan telefon pintar, terutamanya cara kongsi lokasi, hubungi bantuan dan tangani kecemasan.