
Lelaki Kongsi Idea Luar Kotak Bantu Elak 'Jem' Musim Raya
Setiap kali tibanya musim perayaan, kesesakan trafik sudah sinonim dengan rakyat Malaysia.
Mana tidaknya, kebanyakan rakyat berpusu-pusu membanjiri jalan raya untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.
Apatah lagi, kurang dua minggu masyarakat Muslim bakal menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Sudah tentu ramai yang sudah merancang dan berkira-kira untuk pulang pada hari tertentu bagi mengelakkan kesesakan di jalan raya sewaktu pulang.
Baru-baru ini, tular seorang pengguna Facebook Tarmizi Ishamel mencuri perhatian ramai apabila dia mencadangkan beberapa idea yang menarik bagi mengelakkan kesesakan di musim perayaan.
5 Idea Luar Kotak Elak Jem Musim Raya
1. Sistem Nombor Plat Ganjil Genap
Salah satu idea yang dikongsikan lelaki berkenaan ialah menerusi pergerakan kenderaan mengikut nombor plat masing-masing.
Katanya, sistem nombor plat ganjil dan genap itu dijangka boleh membantu trafik lebih stabil dan tidak terlalu padat dalam perjalanan pulang ke kampung.
"Bayangkan kalau balik kampung dipecahkan ikut nombor plat. Hari pertama hanya plat ganjil dibenarkan bergerak jauh. Hari kedua plat genap pula.
"Dengan cara ini jumlah kereta di lebuh raya boleh turun hampir separuh pada satu masa. Trafik akan lebih stabil dan tidak terlalu padat," katanya.
2. Tol Ikut Waktu Trafik

Yang kedua adalah bayaran tol mengikut aliran pergerakan trafik semasa.
"Sekarang tol sama sahaja tidak kira pukul berapa memandu, tetapi bayangkan jika dibuat begini.
"Waktu puncak, tol lebih mahal. Waktu tengah malam atau awal pagi, tol lebih murah. Tujuannya untuk pecahkan aliran trafik supaya tidak semua orang bergerak pada masa yang sama," kongsinya lagi.
3. Cuti Balik Kampung Secara Berperingkat

Idea seterunya yang dikongsikan lelaki itu adalah cuti pulang ke kampung secara berperingkat memandangkan cuti hari sama.
Langkah ini dapat mengurangkan kesesakan jalan raya.
"Jika cuti dibuat berperingkat antara sektor atau syarikat, aliran trafik boleh diagihkan sepanjang beberapa hari. Jumlah kereta keluar serentak akan turun dengan jelas," katanya.
4. Kawalan Lebih Tegas Di R&R

Kongsinya, kadangkala kesesakan lebuh raya bermula dari kereta beratur masuk R&R. Apabila parkir penuh, kereta mula berhenti di lorong kiri.
Lama-lama trafik jadi perlahan. Jika R&R kecil, dihadkan kemasukan atau diarahkan ke R&R lain, kesan jem boleh dikurangkan.
5. Paparan Trafik Masa Nyata
Yang kelima adalah paparan trafik masa nyata bagi memberi maklumat kepada orang ramai.
Antaranya kelajuan purata setiap segmen lebuh raya, masa perjalanan sebenar antara bandar, jumlah kapasiti di R&R dalam satu-satu masa serta lokasi ‘smart lane’ yang aktif.
Baca juga:Bagaimanapun, Tarmizi turut mencadangkan dua lagi idea lain iaitu raya secara ‘online’ dan menukarkan kampung menjadi bandar kecil.
"Dengan maklumat ini pengguna boleh buat keputusan perjalanan dengan lebih bijak. Jika fikir lebih jauh lagi, mungkin 10 tahun akan datang ada idea yang lebih 'gila'
"Raya online, video call satu kampung. Duit raya transfer sahaja. Atau satu lagi idea ekstrem, tukar kampung jadi bandar kecil.
"Kalau kampung sudah ada sistem MRT atau LRT seperti bandar, mungkin orang tidak perlu memandu jauh untuk bergerak.
"Bunyi pelik sekarang. Tetapi banyak perkara yang dulu nampak mustahil. Hakikatnya mudah.
"Lebuh raya tidak berubah banyak setiap tahun. Selagi berjuta-juta orang keluar pada masa yang sama, kesesakan tetap akan berlaku.
"Kadang penyelesaiannya bukan sekadar tambah lorong. Tetapi ubah cara kita bergerak, berfikir dan merancang perjalanan," kongsinya lagi.

