
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berumur 25 tahun, yang dipenjara 14 bulan dan denda RM5,000 lima tahun lalu kerana kesalahan menunggang semberono dengan melakukan aksi ‘wheelie’ di jalan raya, gagal dalam rayuannya terhadap sabitan dan hukuman itu.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Christopher Chin dalam menyampaikan keputusannya terhadap rayuan oleh perayu Adzrul Adzman, mengesahkan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Majistret.
Adzrul pada 12 Dis 2019 didapati bersalah selepas perbicaraan penuh atas pertuduhan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000, jika sabit kesalahan.
Dia dijatuhi hukuman penjara 14 bulan dan denda RM5,000 atau dua bulan penjara kerana melakukan kesalahan itu di Jalan Kota Kinabalu-Papar, berhampiran JKR Putatan, pada jam 1.20 pagi 12 Ogos 2018.
Adzrul diperintah untuk menjalani hukuman penjara dari tarikh sabitan tetapi dia berjaya mendapatkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Tinggi.
Chin pada Khamis memerintahkan syarat jaminan Adzrul dibatalkan dan wang jaminan dikembalikan.
Rayuan balas pihak pendakwaan terhadap ketidakcukupan hukuman itu juga gagal.
Adzrul diwakili peguam Michelle Usman sementara Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang dan Mas Izzaty Lokman melakukan pendakwaan.
Sementara itu, dua lelaki didakwa secara berasingan di Mahkamah Majistret atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seseorang.
Bagi kes pertama, Sapri Repot, 39, didakwa memandu lori treler Nissan secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Ng Chee Wing @ Wong Chee Wing pada jam 10.45 pagi 16 Jun 2020 di Jalan Tuaran Bypass di sini.
Bagi kes kedua, Sim Yun Kong, 40, didakwa memandu kereta secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang pejalan kaki, Klaus Friedrich Walter Knolke pada jam 7.38 malam 10 Mac 2020 di Jalan Tun Fuad Stephen di sini.
Kedua-dua Sapri dan Sim, yang hadir di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun, masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan terhadap mereka.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan yang membawa hukuman penjara antara dua dan 10 tahun dan denda antara RM5,000 dan RM20,000, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 6 Feb dan 15 Feb masing-masing untuk pengurusan kes Sapri dan Sim.
Sapri, yang diwakili peguam Yusri Pungut ditawarkan jaminan RM2,000 dengan dua penjamin, sementara Sim, yang diwakili peguam Ariel Dasan dilepaskan dengan jaminan RM3,000 dan dua penjamin.
Pendakwaan dilakukan oleh pegawai pendakwa trafik Mohammad Khairul Nizam Mokhtar.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


