
KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki memandu kereta di bawah pengaruh alkohol dan melanggar seorang petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Petaling Jaya, Jumaat lepas.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid (gambar) berkata suspek yang berusia 25 tahun itu telah direman selama sehari namun dibebaskan pada hari yang sama atas jaminan polis.
Beliau berkata ujian saringan air kencing dilakukan mendapati pemandu berkenaan negatif dadah namun disahkan mengambil jumlah alkohol melebihi had yang ditetapkan.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43a (1) dan Seksyen 45a(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya kepada Bernama hari ini.
Eksekutif Juruteknik Penyiaran Bernama TV, Mohd Saifuddin Mohd Nazari kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) setelah terlibat dalam kemalangan itu semasa dalam perjalanan pulang dari tempat kerja selepas tamat syif kerjanya pada pukul 1 pagi Jumaat lepas.
“Mana-mana saksi yang melihat kejadian berkenaan diminta tampil untuk beri keterangan bagi membantu siasatan di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya,” kata Mohamad Fakhrudin. -Bernama
