
Kota Kinabalu: Mahkamah Majistret pada Isnin menjatuhkan hukuman penjara 11 bulan dan denda RM8,000 atau penjara sembilan bulan jika gagal membayar denda kepada seorang lelaki atas kesalahan melupuskan barang kemas curi dua tahun lalu.
Jamil Md Andang mengaku bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin atas pertuduhan membantu melupuskan harta curi iaitu seutas rantai emas dan sebentuk cincin emas milik seorang wanita bernama Chin Kuin Yin di sebuah kedai emas di Kepayan antara jam 2 petang hingga 5 petang pada 18 Mei 2023.
Jamil telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes yang dikemukakan pihak pendakwaan, pada 18 Mei 2023 kira-kira jam 3.10 petang seorang pengadu mendapati rumahnya di Kobusak Vila, Jalan Kobusak, Penampang telah dipecah masuk oleh suspek tidak dikenali melalui bahagian belakang rumah.
Pengadu mengalami kerugian berjumlah kira-kira RM45,000.
Laporan polis dibuat dan beberapa suspek kemudiannya ditangkap.
Siasatan mendapati dua suspek terlibat secara langsung dalam kes pecah rumah tersebut berdasarkan pengecaman dan maklumat yang diberikan oleh seorang rakan subahat.
Jamil didapati bersalah kerana menjual barangan curi tersebut.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara Jamil berkuat kuasa mulai Isnin.
Dalam kes berasingan seorang wanita berusia 24 tahun didenda RM1,400 atau penjara sebulan kerana terlibat dalam aktiviti perjudian haram secara dalam talian.
Nurul Ain mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di tempat awam di Lorong Grace Square 1, Jalan Pantai Sembulan pada 10 September tahun ini kira-kira jam 4.41 petang.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes pada hari kejadian sepasukan polis telah menyerbu premis dobi dan menahan Nurul serta merampas barangan berkaitan perjudian yang digunakan untuk aktiviti pertaruhan dalam talian.
Nurul mengaku terlibat dalam perjudian dalam talian manakala laporan pakar mengesahkan peranti yang dirampas digunakan untuk aktiviti tersebut.
Mahkamah turut memerintahkan wang tunai RM247 yang dirampas dilucut hak sebagai hasil kerajaan.
Sementara itu seorang lelaki warga Filipina berusia 41 tahun didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya.
Raj Sapari yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencederakan seorang lelaki bernama Matt Shazeeley Mohd Salleh menggunakan sebilah gunting pada jam 3.39 pagi, 9 September lalu di sebuah rumah di Taman Suria Kepayan, Kobusak.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 13 November depan untuk pengurusan kes pra-perbicaraan dan memerintahkan tertuduh terus direman.
Inspektor Yusdi Basri mengendalikan pendakwaan.


