Lelaki Malaysia Ditahan Di Woodlands, Lebih 10kg Dadah Ditemui Dalam Kereta

5 Aug 2026 • 1:56 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Lelaki Malaysia Ditahan Di Woodlands, Lebih 10kg Dadah Ditemui Dalam Kereta

SINGAPURA - Seorang lelaki warga Malaysia berusia 22 tahun ditahan selepas pihak berkuasa Singapura menemui lebih 10 kilogram (kg) dadah di dalam sebuah kenderaan berdaftar Malaysia di Pusat Pemeriksaan Woodlands, Sabtu lalu.

Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, pemeriksaan ke atas kenderaan itu membawa kepada rampasan kira-kira 8.6kg ganja dan 1.5kg methamphetamine kristal atau dikenali sebagai Ice.

Menurut ICA, lelaki terbabit tiba di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada pagi Sabtu sebelum diarahkan menjalani pemeriksaan lanjut oleh pegawai bertugas.

“Hasil pemeriksaan, pegawai menemui dua bungkusan yang disyaki mengandungi dadah terkawal di dalam sebuah kotak yang disimpan di ruang but kenderaan.

“Pegawai daripada Biro Narkotik Pusat (CNB) kemudian dimaklumkan dan menjalankan pemeriksaan lanjut terhadap suspek serta kenderaan itu, yang membawa kepada penemuan lebih banyak dadah di ruang but,” menurut kenyataan tersebut.

Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan melebihi kira-kira RM1.2 juta dan kes kini masih dalam siasatan.

Di bawah undang-undang Singapura, individu yang disabitkan kesalahan mengimport atau mengeksport lebih 250 gram methamphetamine atau lebih 500 gram ganja boleh dikenakan hukuman mati.

Kes itu berlaku beberapa bulan selepas pihak berkuasa Singapura menggagalkan dua cubaan berasingan menyeludup dadah bernilai lebih S$2 juta melalui pusat pemeriksaan darat negara itu pada Mac lalu. - Getaran, 5 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved