
LUAR biasa jumlah gigi lelaki dari Klang, Selangor ini, hingga mencipta sejarah apabila diiktiraf oleh Guinness World Records kerana memiliki jumlah gigi paling banyak bagi kategori lelaki.
Kalau orang normal ditumbuhi 32 orang , namun Prathab Muniandy, 33, memiliki 42 batang gigi!
Jurutera dalam industri minyak dan gas, hanya mula menyedari sesuatu yang pelik pada 2021 ketika berbual santai bersama keluarganya semasa minum petang.
“Saya beritahu keluarga yang rasa macam ada gigi ekstra sedang tumbuh,” katanya.

Mereka kemudian mengira bersama-sama dan mendapati ketika itu Prathab sudah mempunyai 38 batang gigi. Selepas itu, pemeriksaan sinar-X di klinik pergigian menunjukkan terdapat empat lagi gigi yang masih belum tumbuh.
Menjelang awal 2023, jumlah keseluruhan giginya disahkan mencecah 42 batang, sekali gus melayakkannya memegang rekod dunia selepas pemeriksaan dilakukan oleh dua doktor gigi.
“Ramai yang terkejut dan tidak percaya apabila mengetahui saya mempunyai 10 batang gigi lebih berbanding jumlah normal manusia dewasa, 32 batang,” katanya.
Paling luar biasa, jumlah gigi yang banyak itu tidak memberi kesan buruk. Namun, Prathab mengambil langkah penjagaan kebersihan dengan memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari dan floss kerap.

Sementara itu, memetik portal IFL, keadaan gigi melebihi jumlah normal ini dikenali sebagai hyperdontia yang berlaku kepada kira-kira 0.1 hingga 3.8 peratus daripada populasi.
Menurut pakar pergigian, Ollie Jupes, keadaan itu biasanya berpunca daripada faktor genetik atau gangguan pada lamina pergigian, iaitu sel yang membentuk gigi semasa proses perkembangan.
Katanya, dalam kebanyakan kes, gigi ekstra sebenarnya tidak perlu dibuang jika tidak menyebabkan sebarang masalah.
“Jika gigi tambahan itu tidak menimbulkan sebarang masalah, tiada sebab ia tidak boleh dibiarkan sahaja dan dipantau.
"Kalau ia menjejaskan susunan atau penampilan, ia boleh diperbetulkan dengan rawatan seperti pendakap gigi,” katanya.
Sekadar info, satu kes pernah dilaporkan pada 2011 yang mana seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun didapati mempunyai 81 batang gigi merangkumi 18 gigi susu, 32 gigi kekal, dan 31 gigi tambahan (supernumerary teeth).
Dalam kes kanak-kanak tersebut, lebihan gigi itu dipercayai berpunca daripada gangguan genetik. Berbeza dengan kes Prathab yang tidak mengalami masalah besar, kebanyakan gigi tambahan dalam kesnya berkemungkinan perlu dibuang bagi mengelakkan komplikasi pada susunan dan perkembangan gigi.
Sumber: IFL, LinkedIn, Guinnes World Records


